Saturday, January 9, 2010

Memori



Pada 31 Disember lepas, genaplah setahun Ayah pergi meninggalkan kami untuk kembali ke alam yang lebih baqa'.

Rasanya seperti baru semalam Ayah melihat kami dari jauh semasa kami bermain-main di padang sekolah Naim di Langgar. Kemudian kami akan dipanggil oleh Ma untuk makan malam, sebelum masuk waktu Maghrib.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah balik dari pasar dengan membawa buah tangan ala kadar, sama ada jagung rebus atau kuih-kuih untuk kami. Dan kami akan menyambut Ayah balik dari pasar dengan penuh harapan.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah balik dari menjual berbagai barangan seperti ubat-ubatan, batu permata dan lain-lain hingga ke merata tempat, semuanya bagi menyara keluarga yang besar ini.

Rasanya seperti baru semalam kami mengikut Ayah bersolat hariraya di Tapang. Kemudiannya kita akan ke kubur Tok Ayah dan Wa, di mana Ayah akan terkumat-kamit membaca surah-surah sambil mencabut lalang dan rumput di atas kuburan mereka.

Rasanya seperti baru semalam mengikut Ayah ke pejabat Persatuan Ibubapa Mengajar Anak-Anak Membaca AlQuran di Jalan Pengkalan Chepa, di mana Ayah akan berbincang dengan orang-orang di pejabat itu tentang langkah-langkah memastikan anak-anak dapat menguasai bacaan alQuran dengan baik.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah datang menjenguk kami di sekolah bagi memastikan kami belajar dengan tekun. Kekerapan Ayah menjenguk kami di sekolah menjadi buah mulut guru-guru kerana ini tidak dilakukan oleh ibubapa lain. Baru-baru ini semasa bercakap dengan Cikgu Asmak melalui telefon, perkara yang disebut-sebutnya ialah sikap Ayah yang selalu melawat kami di kelas, walaupun agak kepenatan mengayuh basikal.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah merenung jauh bila kami berdua serentak mendapat tawaran ke Kolej Islam Klang. Mungkin Ayah memikirkan bagaimana untuk mencari sumber kewangan bagi membiayai kos ke Kolej nanti.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah begitu bangga menghantar kami ke Kolej Islam dan menyebut nama abang-abang dan kakak-kakak yang pernah belajar di situ di hadapan ibubapa yang lain. Ayah nampak begitu bangga dengan 'harta-harta' ini.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah gigih mengajak anak-anak kampung belajar di sekolah agama. Semasa zikra setahun pemergian Ayah minggu lepas, Arif yang Ayah masukkan ke Maahad Muhammadi dulu sekali lagi bercerita tentang betapa beliau menghargai jasa Ayah yang menjadikannya seorang 'manusia'. Memang Arif menjadi seorang yang berjasa, seperti Ayah kerana dia adalah seorang guru, satu karier yang Ayah memang galakkan. Begitu juga dengan Min yang sekarang ini menabur bakti untuk anak-anak di kawasan taman perumahannya.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah menyambut kami pulang ke Kota Bharu dengan senyuman, dan Ayah akan menghantar kami di luar rumah untuk kembali ke KL dengan iringan bacaan doa dan ayat-ayat yang bacakan hinggalah kami menaiki kereta untuk meneruskan perjalanan.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah terlantar, dan kami akan balik hampir setiap bulan bagi menjenguk Ayah, melayan semua permintaan Ayah dan mengurut-urut badan Ayah. Rasanya seperti tidak puas kami melayan keinginan Ayah di masa Ayah sihat, seperti minat Ayah kepada jam, batu permata dan pakaian.

Rasanya seperti baru semalam Ayah berkata 'La, jangan tinggalkan Ayah' pada tengahari Ayah meninggalkan kami, kata-kata yang akan terpahat dalam diri ini hingga ke akhir hayat. Semoga Ayah redha dengan kami semua.

Sunday, December 20, 2009

GENAP SETAHUN AYAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

Alone

ahad 3 muharram - hari ini genap setahun qamariah ayahanda kembali ke rahmatullah. ayah 'lucut nafas' pada jam 6.05 minit petang 3 muharram 1430H (bersamaan 31 disember 2008) yang lalu. jenazahnya di'simpan' di perkuburan kg belukar tapang lebih kurang 2oo meter dari rumahku. ayah bersemadi di sana bersama ayah bondanya hj awang b chik dan hjh membunga bt kadir (ninda kami), mertuanya tuan guru hj wan ismail b wan hassan dan hjh zainab bt hj muhammad (juga ninda kami), isterinya /mak kami hjh wan meriam dan kaum keluarga lain yang mendahulunya. semoga Allah subhanahu wata'ala mengampuni, merahmati dan meletakkan mereka bersama para salihiin. aamiin.

quoted dari GENI:

" Ayah La bercadang untuk mengadakan sedikit kenduri bagi memperingati ulangtahun pemergian Ayah, yang tentatifnya akan diadakan pada 25 hb Disember depan (bersamaan 8 Muharram). Objektif utama ialah untuk kita sama-sama membaca kalimah tayyibah untuk Ayah dan Mak, serta sama-sama membersihkan kubur datuk nenek pada siangnya. Jika sesiapa yang ingin mencadangkan tarikh lain, sila propose dalam forum ni. Ayah La bercadang utk menyumbangkan seekor kambing bagi majlis ini. Harap semua dapat meluangkan masa dan ambil cuti hujung tahun bagi menghadiri majlis ini."

Ekoran hal itu dalam forum di Geni..masing2 beri / tambah idea ke arah 'jadi' insya Allah... maka program itu akan berlangsung pada 31 Disember 2009M =14 Muharram 1431. Ikut tahun masehinya, genap setahun ayah kembali ke rahmatullah.

Kita berkumpul dan bertemu pada hari dan masa yang dijanjikan bersama itu. Insya Allah.

Thursday, October 22, 2009

Musim Haji Tiba Lagi... Sikit Nostalgia Bersama Ayoh Ke Mekah.


dalamkaabah.jpg

dalamkaabah2.jpg

Dalam bulan jun 20 tahun yang silam kami pergi menunaikan Rukun Islam ke 5, menunaikan ibadat Haji ke Mekah. Ayah D memang telah berhasrat akan ke Mekah setelah 10 tahun berkerja. Mula bertugas selaku guru apabila ditempatkan di SMVokasional Kuantan julai 1979.

Mulalah ayah D menabung dengan Tabung Haji RM100 sebulan. Ketika itu kami menyewa rumah di Baserah Kuantan RM140 sebulan. Bila berpindah tinggal di asrama sekolah selaku waden asrama, ayah D menambah tabung kepada RM200 sebulan. Gaji seorang guru siswazah B.A (Hons.) & Dip.Ed. ketika itu tidak sampai pun RM1000; hanya RM965.00. (kat. D1). Enam tahun di Kuantan, ayah D bertukar masuk Kelantan 1986, SMVokasional, Kuala Krai. Dua tahun kemudian 1988 ayah D masuk PPD Kota Bharu, mengajar di SMZainab Jalan Telipot.

Genap 10 tahun berkerja, insya Allah walhamdulillah kami: ayah D dan che Dah, almarhum ayoh, almarhumah mak, ma, mak long, ayah lim jengka, ayah ziz dan mokdik Norina dapat bertolak ke Mekah, memenuhi seruan Nabi Ibrahim a.s, menjadi tetamu Allah. Kalau tidak silap, belanja ke Mekah kami kena bayar RM4700 setiap orang (percuma satu) dengan syarikat (?) swasta Hj Yusof Pattani dan mutawwifnya Hj Ahmad Kassim @ Hj Mat Che Hil
.

Sedikit sebanyak kesukaran sebelum bertolak, semasa di sana dan delayed flight ketika di Jeddah selama 3 hari 3 malam dapat diatasi dengan penuh sabar dan redha. Alhamdulillah ayoh sihat dapat menyempurnakan amalan. Ayoh tidak banyak bercakap dan tidak suka berjalan berlegar seperti orang lain. Dia banyak berzikir dan baca al-Quran
.

Ayah banyak memberi tunjuk ajar secara lisan agar jiwa, lisan dan sikap kita sentiasa bersih dan selalu berzikir atau berselawat. Jangan mudah marah dan banyak2lah bersedekah. Dia sungguh bersedih, banyak berdoa dan solat hajat sewaktu ayah ziz 'hilang' 3 hari 3 malam... ditahan polis Mekah sebab tak bawak dokumen diri...begitu juga semasa delayed flight...'terkandas' di Jeddah masa hala balik. Kami selamat tiba di LT Pengkalan Chepa seterusnya ke kampung halaman disambut sanak keluarga. Sebahagian kami meninggalkan Lapangan Terbang Subang ke Pengkalan Chepa dengan Boeing 737 tetapi ayah ziz, ayoh, ma dan mokdik kena naik fokker, kapal terbang kipas! Mereka tiba agak lewat di PC walaupun mereka bertolak lebih dahulu di Subang.

Thursday, October 15, 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan

Musim sekarang adalah musim peperiksaan. Jadi Ayah La mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat mengambil peperiksaan untuk semua cucu cicit Tok Ayah Mat. Jangan terlalu tension dan memberi tekanan pada diri sendiri, tapi pada masa yang sama berusahalah semampu mungkin untuk mencapai kejayaan.

Teringat masa kami dulu-dulu masa menempuh peperiksaan, tak kira sama ada peperiksaan penggal ataupun ujian besar seperti SRP, SPM etc. Ayoh tidak pernah memberi tekanan ataupun memaksa kami untuk mengkaji pelajaran sebelum peperiksaan. Tapi pada masa yang sama, kami lihat Ayoh akan selalu solat hajat setiap malam sepanjang peperiksaan. Kalau exam tu 2 minggu, maka dua minggu jugalah Ayoh akan di atas sejadah bersolat hajat untuk kami.

Kaifiyyat solat hajat yang Ayoh lakukan ialah dengan membaca surah alKaafirun sebanyak 3 atau lima kali pada rakaat pertama dan surah alIkhlas 3 atau 5 kali pada rakaat kedua. Pada sujud yang akhir, Ayoh akan sujud agak lama bagi bermunajat untuk kejayaan anak-anaknya.

Memang kunci kejayaan juga banyak bergantung kepada doa berterusan kedua ibubapa dan tidak hanya memberikan tekanan berlebihan kepada anak-anak, dan ini telah dibuktikan dengan apa yang Ayoh lakukan. Bagi Ayah La, antara perkara yang Ayah La tanamkan dalam fikiran ialah wajah Ayoh yang kepenatan selepas mengayuh basikal menghantar jeruk kelubi, kueh ataupun wajahnya yang nampak risau bila wang diperlukan untuk membayar yuran penggal ataupun peperiksaan besar. Ini menjadi pendorong untuk kami berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

Itulah cara Ayoh semasa kami menjalani peperiksaan. Tapi Ayoh juga ada cara tersendiri untuk motivate anak-anaknya yang dia nampak agak leka seperti 'high impact statement'nya kepada Ayah Ni yang semuanya kita dah tahu 'bodoh dengan malas tu bagi kat orang lain, kita ambik pandai dengan rajin'. Very powerful words that have totally changed a person.

Semoga kita dapat mengambil contoh dari orang tua ini yang telah berjaya dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya.


Sunday, September 27, 2009

Cadangan Dari Cucu Yang Jauh..

Salam Alaik dan Salam Sejahtera..

Buat pertama kalinya, tangan ini akhirnya berjaya menulis sesuatu dalam blog kongsian ini.. Dari awal teringin benar ingin menulis, tapi takut kalau2 isinya tidak sehabt orang lain..

Bukan apa, sebelum ni, dok asyik lihat anak-anak Al-Muhammadiyy sahaja yang menulis.. Takdak pulak nampak cucu yang menulis.. Jadi,rasa takut juga nak 'melintas depan orang-orang tua' ni... Namun, bila rase diri ini dah agak besar dan matang, Iju memberanikan diri gak untuk menulis disini.. Sebagai perkongsian bersama.. Dan untuk kritikan semua..

Sebagai cucu yang sentiasa jauh, (dilahirkan di luar Kelantan, menetap bersama keluarga di luar Kelantan, sambung belajar luar Kelantan juga, dan kini dapat kerja juga di luar Kelantan, malah mungkin juga membina karier di luar Kelantan, namun berjanji dengan diri untuk menetap kembali ke Kelantan lepas pencen nanti, insya-Allah) iju rase kan ada beberapa pengalaman harian yang Iju tak dapat dari Tok Ayoh Mat.. Jadi, dengan membaca blog ini, Iju rasa agak dekat dengan arwah..

Sebagai langkah bijak dan terkehadapan, iju mencadangkan agar kita semua merealisasikan SEBUAH BUKU AUTOBIOGRAFI MUHAMMAD SIBAWAIH sepanjang kehidupannya. Biar Iju go through satu persatu berkaitan 'bayangan' yang iju nampak dalam idea Iju nih.. Antar objektif buku nih adalah

1-membuka mata anak cucu tentang kehidupan sebenar arwah dari persepsi orang paling rapat dengannya
2-memberi input kepada cucu cicit piut yang jauh tentang diri dan kehidupan arwah
3-sebagai kenangan atau cenderahtai yang harus dimilik setiap ahli al-Muahmmadiyy
4-memberi pengajaran kepada seluruh keluarga, penduduk Kelantan dan pelajar SK Tapang tentang perjuangan pengasas sekolah dan pendidikan di Kelantan
5-sebagai medan kekal anak2 Arwah untuk menulis dan meluahkan perasaan
6-selain sebagai membentang sejarah, kita juga dapat belajar tentang amalan harian arwah sehaingga mampu mendidik 13 anak, hingga melahirkan anak menantu cucu cicit piut yang hebat bukan sahaja di Kelantan malah seluruh dunia.

Buku ni menceritakan tentang kehidupan Arwah Ayah Mat. Dari kecik hingga arwah pergi. Antara objektif ni ialah: Antara bab yang boleh diselitkan adalah seperti berikut: (mesti ada banyak gambar arwah, baru best nak tatap.. kena kumpul dan scan semua gambar arwah untuk tujuan ini.. Mungkina da lagi gambar yg kite semua tak pernah tengok.termasuk gambar ketokohan beliau dan lain2).

Bab 1 : Zaman Kanak-Kanak (0-15 Tahun)
Bab 2: Zaman Remaja (16-25 Tahun)
Bab 3: Alam Perkahwinan dan Rumahtangga
Bab 4: Perjuangan Melayu Kearah Kemerdekaan
Bab 5: Pendidikan Islam di Mata Arwah
Bab 6: Kehidupan Arwah
Bab 7: Damailah Dikau Disana atas Baktimu di Dunia

Atau ada cadangan lain.. Ia sekadar brief idea dari Iju yag harus kita bincangkan kritik lagi..

Apa yang Iju cadangkan lagi, penulisan buku tersebut adalah berkonsep kepada santai dan sempoi. Maksudnya, ia lebih kepada penceritaan pengalaman. Dalam setiap bab, akan ada sub topik..

Contoh nya,
Bab 4: Perjuangan Melayu Kearah Kemerdekaan
Bab 4.1-"UMNO dulu lain, tak macam sekarang" Tulisan ....... Abdul Hadi Muhammad


Bab 5: Pendidikan Islam di Mata Arwah.
Bab 5.1-"Mung Tidak Bodo" tulisan Mohd Dani Muhammad.
Bab 5.2-"Mengaji agama kena terus" tulisan Ahmad Izzuddin Fahmi

Bab 7: Damaikan Dikau diSana
Bab 7.1:"Anggur Lazat Untuk Ayoh" Tulisan Siti Norina Muhammad.
Bab 7.2:"Hujan rahmat di pusara Ayoh" Tulisan Siti Hawa

Lebih kurang macam ni la.. Ini cuma saje2 jer.. Tak semestinya macam ni...

Sementara kesemua 13 anak2 arwah masih lagi sihat, Iju cadangkan kesemua menulis sekurang2nya satu subtopik sebagai penulis jemputan. Dan kita jemput juga sahabat arwah atau sesiapa saja yang mengenali arwah secara dekat untuk menulis tentang arwah..

Setiap sub topik, dalam 3-4 muka surat je dah cukup.. Insya-Allah menjadi dengan kritikan dan candangan dari semua..

Selamat mengkritik dan dibawa ke dalam meeting Yayasan Al-Muhammadiyy.

Wallahua'lam.

Saturday, September 19, 2009

Hari Raya Pertama Tanpa Ayah

Selamat Hari Raya untuk semua anak cucu cicit Muhamad b. Hj Awang.

Tahun ini merupakan kali pertama kita akan berhari raya tanpa seorang tua yang merupakan 'anchor' kepada keluarga besar kita. Walau bagaimanapun, semoga ketiadaan tonggak utama ini makin menjadikan keluarga kita lebih rapat.

Masa kanak-kanak dulu, setiap pagi raya, Ayah akan menunaikan solat hari raya di Tapang. Biasanya Ayah La akan dibawa bersama duduk atas kerusi rotan kecil yang diletakkan di atas palang basikal Ayah. Masa tu tahu seronok saja dan tak kisah betapa Ayah penat kayuh basikal dari rumah di Langgar ke Tapang. Selepas solat raya, Ayah akan pergi ke rumah-rumah orang di Tapang seperti Cikgu Che Ahmad (beleda rumah dia sedap), Che Derahim(?) dan lain-lain (tak berapa ingat dah). Dapat la duit raya beberapa ringgit hasil dari 'kutipan' selepas balik dari Tapang.

Biasanya setiap malam raya, baju dan seluar raya akan di'iron' menggunakan seterika arang oleh Ma. Selepas tu, baju dan seluar ini akan diletakkan di bawah bantal bagi memastikan 'side'nya masih tajam hingga esok hari untuk raya. Biasanya baju raya dijahit sendiri oleh Ma menggunakan kain hadiah hasil peperiksaan penggal di sekolah Majlis atau Maahad Muhammadi. Hanya seluar yang perlu dibeli. Raya kami hanya dengan ketupat, tanpa kuih2 atau kek2 yang berbagai-bagai macam sekarang, tetapi tetap meriah.

Maaf kerana agak nostalgic. Dah tua-tua begini, teringat kembali 'root' kita. Ayah La mungkin balik hari raya ketiga, dan semoga kita semua jumpa di Melawi bagi merapatkan silaturrahmi dan membaca beberapa kalimah tayyibah untuk Ayah dan Mok nanti.

Sebagaimana kata Ebiet G Ade dalam lagunya 'Aku Ingin Pulang', begitulah Ayah La sekarang.


Thursday, September 17, 2009

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




سلام عيدالفطر المبارك هجرة 1430

من العائدين والفائزين

معاف ظاهير دان باطين