Monday, November 14, 2011

Radio Lama

Di rumah kami dulu ada satu radio lama yang Ayoh belikan untuk beliau mendengar berita-berita dalam dan luar negeri. Kami tak tahu harga sebenar yang Ayoh beli, tapi yang pasti tidaklah mahal sebab radio itu adalah radio second-hand. Mungkin hanya berbelas-belas ringgit sahaja.

Dengan radio ini, kami juga dapat mendengar drama-drama radio yang popular semasa itu, seperti Fajar Di Bumi Permata, Pending Permata dan Daun Hantu (cerita seram). Kami beramai-ramai akan bertumpu ke radio lama ini bila masa drama yang kami minati disiarkan. Siarannya pun bukan jelas sangat disebabkan kadang-kadang lipas yang menghuni radio ini yang bergerak-gerak di antara kanvas dan speakernya.

Bila ada di antara kami yang dah mampu memiliki radio kecil sendiri, tumpuan ke arah radio lama ini agak berkurang. Dan semasa remaja, kami juga terikut-ikut meminati lagu-lagu yang disiarkan melalui radio. Bila kami sedang asyik mendengar lagu-lagu, ayah yang kurang senang dengan perangai kami ini akan menuju ke radio lamanya dan akan on dan off kembali radio lama itu, seakan-akan memberi isyarat untuk kami menutup radio kami.

Satu perkara yang Ayah La tidak dapat lupakan ialah tidak berapa lama selepas Ayoh bawa balik radio lama ini, penjualnya datang untuk mengutip bayaran bulanan (Ayoh beli secara berhutang rupanya). Malangnya Ayoh tidak mampu membayarnya pada hari itu, dan hanya dapat memberikan beberapa ringgit. Orang itu nampaknya agak marah dan bisng-bising sambil berlalu kerana tidak puas hati dengan bayaran yang dia dapat. Wajah Ayoh yang agak kesal dengan kejadian ini masih terpahat di fikiran Ayah La, walaupun mungkin sudah hampir 40 tahun berlalu.

Semoga Allah merahmati ayahanda kami yang miskin wang ringgit, tapi cukup kaya dengan akal budi dan ilmu yang diperjuangkannya sepanjang hidupnya.