Friday, May 15, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah: Orang Mengantuk Kena Penampar!


6. Rumah Sewa Ayah Di Kubang Pasu 2:


Aku tak ingat berapa lamakah kami tinggal di rumah kedai yang terletak di Jalan Post Office Lama @ 'postopeh lama' dan berhampiran Pasar Kubang Pasu tu. Kata Kak Dah 2 tahun lebih.


Aku juga tidak berapa ingat waktu itu aku belajar dalam darjah berapa di Sekolah 'Majlis' atau Maahad Muhammadi (Melayu) Lelaki. (Aku tamat Darjah 6 Sekolah Majlis ialah tahun 1965).


Kak Dah @ Makcik Dah memang bersekolah di Madrasah Naim Lilbanat Kota Bharu yang waktu itu sudah pun terletak di lokasi sekarang. Sebelumnya sekolah itu menumpang bangunan kayu berdekatan Cabang 4 BATA yang dikenali juga dengan sekolah Pak Nik Ya. Sudah tentu Kak Dah berulang jauh ke Kg Langgar (sekarang Jalan Sultan Yahaya Putera) dengan bas NETS ( North Eastern Transport Services @ SKMK sekarang).


Ayah masih berkedai runcit di premis Jalan 'Postopeh' Lama. Ayah juga tetap mengusaha jeruk kelubi. Tempayan jeruk masih 'bergelumang' di luar rumah. Dengan pendapatan 'seberapa' yang aku tidak tahu itulah punca rezeki ayah menjalani kehidupan bersama keluarga. Aku rasa waktu itu Umi Long dan ayah Wi belum lagi bersekolah, masih kecil.


Aku yang bersekolah di Sekolah Majlis sudah tentu berulang-alik berjalan kaki ke sekolah. Tetapi hingga kini tidak tergambar semula dalam kepala, lagu mana aku ke sekolah, melalui jalan dan lorong mana ke sekolah yang terletak di Jalan Merbau itu. Siapa pula kawan2 berjalan kaki bersama juga ku lupa.


Ku masih ingat Kak Dah juga ambil upah 'menconteng batik' atau proses menerap lilin pada kain batik untuk menanggung persekolahannya. Tak silapku KakDah bersama kawan dan jiran diberi upah 15 hingga 20 sen sehelai kain batik yang dicat lilin atau diwarnakan menurut arahan taukeh batik. Jadi kalau siap 15-20 helai sehari dapatlah habuan RM4/RM5 sehari! Banyak dah tu.


Satu 'kenangan manis' yang tidak dapat kulupakan semasa di rumah Kubang Pasu ni ialah bila aku makan penampar ayah! Salah aku juga sebenarnya. Sudah tentu. Rutinnya aku akan mengaji al-Quran ialah selepas sembahyang maghrib. Pada 'senja bersejarah' itu barangkali kerana sangat letih bermain (?) atau kerana aku tidak mandi; aku mengaji Quran dalam keadaan tersengguk-sengguk… mengantuk!. Sedang syok melayan ngantuk, tiba-tiba terasa pipiku dilempang @ ditampar dua kali. Terkejut. Aku terdengar ayah kata " Gi mandi!" Aku ingat aku menangis dan menutup mashaf terus pergi mandi. Kak Dah tanya 'bakpa?'… Aku kata kena penampar ayah sebab ngaji..ngatuk. Kuingat Kak Dah kata. "padan dah…"


Siap mandi terdengar ayah kata, "Mari ngaji!" Aku ingatkan time ngaji dah sudah, tapi tidaaaak. Kena ngaji pulak dan ayah jadi jurulatihnya. Kenangan. Ayah yang prihatin bab2 ngaji Quran ni hinggalah dia ke rahmatullah. Itulah kali pertama dan terakhir aku makan penampar. Namun aku hingga kini 'lekat' mesti ngaji al-Quran 5-7 sofhah selepas solat maghrib sambil menunggu solat isya'…atau bergantung kepada suasana. Semoga pahala bacaan kitab suci yang kami amalkan berhadiah juga buat ayah tercinta. READ AL-QURAN!