Monday, August 17, 2015

SUMBANGAN KERUSI RODA

Dalam Ramadhan 1436H baru-baru ini ada sikit bincang2 AyahD dengan Makcik Dah dan beberapa orang lagi untuk membuat sesuatu yang berupa amal 'sodaqah jariah' serta khususkan pahala juga buat almarhum ayoh dan mak.

AyahD cadangkan selain doa agar ayoh bonda kita beroleh maghfirah dan rahmat berterusan di alam sana, selain doa dan tilawah ayat2 suci;  maka AyahD cadangkan untuk membeli sebuah wheelchair alias kerusi roda untuk kegunaan di hospital sama ada di HUSM KK atau HRPZ2 KBharu. Jumlah sumbangan kita campur dengan huluran dari kawan2 di kedai kopi, genap untuk membeli sebuah WC itu. Alhamdulillah....In sya Allah.

Beberapa farmasi atau kedai peralatan hospitaliti sekitar KB AyahD tuju, tinjau dan lihat harganya. Ada yang RM300 lebih, sedang kedai Maycare dekat KKerian (tempat AyahD pernah beli dengan rega RM239 sahaja) sudah kehabisan. Katanya tunggu lepas raya. Pihaknya telefon minggu lepas memberitahu WC itu dah ada.

Kemarin 17ogos15 bersamaan 2ZKaedah1436H, AyahD ke kedai Maycare KK dan mahu mendapatkan WC itu. Budak perempuan di kaunter kata " pakcik rega WC itu dah naik...(GST bakali)...jadinya RM279" lalu AyahD sudi membayar rega WC itu RM40 lebihan kerana kenaikan rega; dan kini ada di belakang Viva KS900 AyahD ... untuk dihantar ke hospital yang sepakatnya nak hantar ke HRPZ2 KBharu.


Semoga amal ini menjadi amal jariah berpanjangan selagi WC itu digunakan pesakit2 di hospital. Kita akan melakukan amalan baik itu dan bersyukur kepada Allah kerana memberi kita peluang, wang dan perasaan kepada kita untuk tujuan sedemikian. Wassalam.

Friday, August 14, 2015

APA KABAR SEMUA? Bertemu semula nih.

ASSALAAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH:

hari ini 30 syawal 1436, sabtu. bersamaan 15 ogos 2015,
kerana masih dalam syawal, abangD nak ucapkan salam 'idulfitri buat semua 'al-muhammadian', pohon maaf dan memaafkan. terlebih dahulu ayahD nak ucapkan terima kasih kepada adik2 dan anak2 sedara yang datang mengungjungi keluarga ayahD di rumah di kg belukar.

kita tidak selalu bertemu muka. kita sesekali berjumpa setelah lama tidak berhimpun seperti sekali dahulu kat Pantai Melawi, kemudian berlaku acara / jamuan kecil2lan atau walimah. tak apalahlah asalkan kita tetap / masih mesra bagai berhembusnya suam udara silaturrahim. seperti dulu2.

hari raya bebaru ini, keluarga di Kg Belukar adakan temu-ramai2 sarapan / makan pagi raya. alhamdulillah... terima kasih kepada penaja dan petugas perkumpulan tersebut. ada sate yg siap dicucuk. ada tapey yang berbungkus daun getah...manis molek, ada ketupat palas yang tetap tiga bucu. ada air bandung bukan asal Bandung dll. yang mustahaknya ada anak-beranak dan cucu-berbucu2.

moklong Rafeah paling tua dan anak anakanda faris paling muda (kalu tak silap).(ayahD dapat juga cucu ke 17, tetapi nun jauh di Manjung Perak... Siti Farhana dah dapat puteri seperti yang diidamkannya ALHAMDULILLAH jadi keluar siti takleh kelik... beraya di rantaulah mereka).

paling penting pagi itu ialah sambutan mesra, senyuman ikhlas dan perut beralas. sedap2 dan ada kelas! pertemuan di beranda2 rumah  moksu Azimah, rumah Zahari dan rumah moklong Rafeah adalah open air. terbuka. tetapi hadirin tidak menyeluruh kerana hambatan masa dan perjalanan. nway...kita bersyukur.

dalam paya pokok celagi; bila raya boleh wat lagi.

****** akan tiba 31disember 2015, maka genaplah 7 tahun masehi; ayoh kita meninggalkan kita. Allahummaghfirlahu warhamhu.
................ tubi kontiniu. wassalam.

Monday, November 14, 2011

Radio Lama

Di rumah kami dulu ada satu radio lama yang Ayoh belikan untuk beliau mendengar berita-berita dalam dan luar negeri. Kami tak tahu harga sebenar yang Ayoh beli, tapi yang pasti tidaklah mahal sebab radio itu adalah radio second-hand. Mungkin hanya berbelas-belas ringgit sahaja.

Dengan radio ini, kami juga dapat mendengar drama-drama radio yang popular semasa itu, seperti Fajar Di Bumi Permata, Pending Permata dan Daun Hantu (cerita seram). Kami beramai-ramai akan bertumpu ke radio lama ini bila masa drama yang kami minati disiarkan. Siarannya pun bukan jelas sangat disebabkan kadang-kadang lipas yang menghuni radio ini yang bergerak-gerak di antara kanvas dan speakernya.

Bila ada di antara kami yang dah mampu memiliki radio kecil sendiri, tumpuan ke arah radio lama ini agak berkurang. Dan semasa remaja, kami juga terikut-ikut meminati lagu-lagu yang disiarkan melalui radio. Bila kami sedang asyik mendengar lagu-lagu, ayah yang kurang senang dengan perangai kami ini akan menuju ke radio lamanya dan akan on dan off kembali radio lama itu, seakan-akan memberi isyarat untuk kami menutup radio kami.

Satu perkara yang Ayah La tidak dapat lupakan ialah tidak berapa lama selepas Ayoh bawa balik radio lama ini, penjualnya datang untuk mengutip bayaran bulanan (Ayoh beli secara berhutang rupanya). Malangnya Ayoh tidak mampu membayarnya pada hari itu, dan hanya dapat memberikan beberapa ringgit. Orang itu nampaknya agak marah dan bisng-bising sambil berlalu kerana tidak puas hati dengan bayaran yang dia dapat. Wajah Ayoh yang agak kesal dengan kejadian ini masih terpahat di fikiran Ayah La, walaupun mungkin sudah hampir 40 tahun berlalu.

Semoga Allah merahmati ayahanda kami yang miskin wang ringgit, tapi cukup kaya dengan akal budi dan ilmu yang diperjuangkannya sepanjang hidupnya.



Monday, September 5, 2011

Sesekali Mengetuk Keyboard: Yayasan Al-Muhammad Tetap Bergerak.

Assalamu'alaikum warahmatullah. Arwah ayah tidak pernah kalut masalah kewangan (di depan kita). AbangD tahu ayah tidak ada duit cukup untuk menyara semua anaknya bersekolah. Kita anak-anaknya tahu 'hasil masuk' ayah. Tidak tetap dan tidak banyak macam kita anak-anaknya. Paduka ayah selalu sebut AbangDlah pembuka panggung masuk U, Abang D berterima kasih setelah abngD tahu, tetapi abngD tidak bangga kerana Abg D tahu untuk abangD ke U, sekeping tanah tapak rumah tok ayah Awang untuk ayah pusakai, telah ayah jual murah benar RM600 kalau tak silap. Masuk U ketika itu perlukan sekitar/kurang RM300 sahaja. Tanah dan rumah banglo itu kini mungkin lebih RM600K. Beza tahun 70an dengan 2011!

Hingga kini kalau lalui tanah tersebut, mata dan hati abangD tergambar wajah ayah yang teduh tetapi jerih untuk menyara anak-anaknya mendapatkan ilmu. Sejak itu hingga kini di sana, masih berdiri sebuah banglo besar/ mewah dengan taman terjaga rapi, ada pula kandang kambing baka besar;

AbangD rasa semacam berdosa 'aku' masuk U kerana menyebabkan almarhum sesak nafas berdepan masalah kewangan untuk menyempurnakan belanja menuntut ilmu. Begitu sekali ayah merai anaknya menyambung pelajaran. Ayah kita memang 'gila' ilmu agama hingga ke saat usia akhirnya. Sifat mulia itu jarang ada pada orang lain. (AbangD tahu melalui airmuka dan kalimat bicaranya dia agak terkilan anak-cucunya tidak 'alim' seperti dia). Banyak antara kita yang selekoh ke 'SMKA' walaupun bernama KIK atau KISAS. Tiada anak-anak yang 'tamat' di STU -Mesir, Madinah, Jordan dsb dalam bidang diniah-arabiah. AbgD sendiri memulakan ke KIK, bukanlah seorang yang tamat tinggi, hingga ke Jab Usuluddin & Falsafah UKM, sekedar Kelas II Bawah. AbgD tidak menafikan kepentingan 'major' lain dalam pendidikan dan keperluan untuk Islam juga, namun hasrat ayah yang agak 'ortodoks' mahukan anak-anaknya lulus agama. jadi 'alim bertugas pengajar sepertinya; tidak tercapai seprti anak-anak ustaz lain.

Bagi abngD, alhamdulillah, dapat bekerja lebih awal hingga adik-adik telah berjaya baik, tetapi terkilan kerana tidak membantu banyak segi kewangan kepada ayah sedang beliau mahu mengongkosi anak-anak yang masih ada di meja pelajaran. Ayah pula tidak pernah menyebut, meminta atau ...dari abangD buat membantu adik-adik. Itu satu lagi sifat murni ayah yang hebat dan memalukan diri abangD. Di kampus Bangi dulu selama 2 tahun, abangD acap kali tidak meminta kos dari almarhum di KB sebab masih ada adik-adik yang lebih perlukan demi persekolahan. Kita terpaksa berhutang dan mengikat perut. Tak apalah... Syukurlah adik-adik abangD pula bijak dan pintar belajar sehingga dapat biasiswa; tambahan pula zaman kita dulu memang dibiasiswakan.

AbangD hingga hari ini sangat ikram kepada sosok hebat ayah kita itu. Bukankah beliau banyak menghabiskan umurnya bagi membiayai tenaga, perasaan dan kos untuk kita? Semacam tidak munasabah dia berupaya menyekolah, memberjayakan dan berbangga dengan kejayaan anak-anak khusus mencapai kejayaan dalam bidang ilmu / didikan agama. Al-marhum tidak pernah mahu menyimpan harta. Kita lihat dia amat bangga dengan kejayaan anak-anaknya. Berbangga kerana perjuangannya ada hasil. Hasil menjadikan anak-anaknya memperolehi kerja baik dan mendapat rezeki baik. Halal dan tidak sedikit.

Almarhum ayah telah lama menjual dua keping tanah yang dipusakainya, sekeping kepada Azmi-Tini dan sekeping lagi dusun durian. Almarhum telah diangkat ke Tanah Suci (hingga orang lain juga ikut ke Tanah Suci setelah dapat pemberian ayah 1989) dan beliau telah membahagi-bahagikan wang hasil jualan tanah 2 keping itu. Almarhum faham dan amalkan ilmunya. Beliau datang dagang, pernah berdagang dan pergi dengan dagang membawa amalannya yang suka solat, zikrullah, tilawah, baca kitab, mengajar hingga bersedekah jariah terhadap masjid ( dan apa jua, hal beli telaga di Kampuchea atau Pakistan tu dirunding-tanya dengan AbangD. Walaupun tidak secara miting korum AJK, namun teringatkan al-Marhum ayah sukakan tabiat bersedekah, makanya kami gamak semua sudi 'amin'. Cuma mari kita stopkan kes ini dan yakin/berbangga di sana ada sebuah telaga jariah kita buat masakin seagama; semoga bermanfaat benar) anak-anak yatim, saudara mara miskin etc; Beliau meninggalkan tidak sedikit ilmunya kepada kita dan masyarakat setempat dan zamannya, Almarhum juga meninggalkan anak-anak yang soleh, insya Allah yang akan mendoakan kebaikan untuknya.. Dia benar mahu melengkapi pernyataan hadith 'bila mati anak Adam......." ALLAHUMMAGHFIRLAHU WARHAMHU.

2. Selaku guru sekolah 30 tahun lebih, abangD jadi Timb Pengerusi PIBG, s/u PIBG, Bendahari Persatuan-persatuan lain dan AJK biasanya, perkara utama diheret lama dalam mesyuarat ialah Masalah Kewangan. Akan jadi bising bbango kes wang kutipan, yuran dan derma; soal belanjawan juga sengaja di'panas'kan. Jawatan Bendahari jadi fobia. Akan dilantik/terlantik jenis manusia baik-baik, ustaz-ustazah, org yang memang wara' dsb takut disalahugunakan RM persatuan. Tapi bila pembentangan kewangan dalam mesyuarat, bendaharilah kerja berat menyediakan laporan kewangannya dan terpaksa soal-jawab. Kalau mesyuarat agong lagilah. Bendahari kena 'pukul', mahu makan minum jamuan selepas itu pun tidak lalu.

3. Kita ahli-ahli Al-Muhammadi cuba belajar dari qana'ah almarhum, dari prihatin beliau terhadap perkara ma'ruf dan birri wattaqwa. Kita bukan berhajat besar menjadi badan koperat yang Aman Motor, Yati Ayam Percik, Yayasan Al-Bukhary atau mendirikan bangunan berkembar. Kita persatuan silaturrahim yang tinggal jauh, punya halangan bertemu yang sukar atau punya masa yang suntuk kerana kesibukan. Kita sekadar heret kaki dengan 'sumbangan' (masih takut nak sebut yuran - itupun dipertikaikan) yang Bendahari dan Timb.nya heret kaki juga memohon diisikan tabung.

Tahniah dan tabik buat pengelola Family Day @ Le Feiesta De Malawi beberapa tahun lalu. AbangD intai juga waktu terbaik / sesuai selepas itu, namun barangkali ada hikmatnya, tergendala. Mungkin segi pengurusan yang kurang cekap atau kerana 'ini NGO' yang sukarela memerlukan tenaga / waktu yang suka dan rela. Ahli-ahli diminta tidaklah terlalu bercita-cita besar kerana wujudnya halangan-halangan tadilah. Namun dalam pada itu aktiviti-aktiviti sederhana berjalan menurut program bertulis dulu dan tabungan perlu lagi diisi sekadar nya seperti biasa sebagai tanda ingatan dan silaturrahim.

Harap maaf. Wassalam.
tt
AyahD

Bacaan Ummul-Kitab buat Al-Marhum Paduka Ayahanda Haji Muhammad Sibawaih b. Hj Awang bin Chik, Kg Belukar...

Saturday, June 19, 2010

Selamat Hari Bapa

Tahun ni adalah tahun kedua kita sambut hari bapa tanpa ayah.Dulu selalu jugak beli kad hari bapa dan tulis kpd ayah, walau pun dok serumah.masih ingat, sekali tu agaknya tulisan tu terlalu menyentuh hatinya, ayah menangis terisak-isak lepas baca.lepas tu ayah simpan kad tu dlm Qurannya..lupa dah apa yg ditulis.akan cari semula kad tu utk disimpan sbg kenanganku.Selamat Hari Bapa, buat ayah yang tiada tolok bandingnya.

Friday, May 7, 2010

Basikal Ayah

Sudah lama tidak menulis di sini. Mungkin kita sibuk melayan berbagai medium internet lain seperti facebook dan sebagainya. Tapi bagi Ayah La, di sinilah Ayah La boleh berkongsi catatan dan anekdot kehidupan tentang Ayah untuk tatapan anak-anak, dan semua catatan ini akan terus kekal dalam blog ini. Sekurang-kurangnya mereka mungkin dapat memahami serba sedikit latar belakang kehidupan ayah dan datuk mereka.

Basikal merupakan 'kenderaan' utama Ayah untuk hampir keseluruhan hidupnya, dan basikal juga menjadi sumber Ayah mencari rezeki. Mungkin basikal jugalah yang menjadi faktor Ayah tidak menghadapi banyak masalah kesihatan sepanjang hidupnya-tiada masalah jantung, kencing manis ataupun darah tinggi.

Basikal yang Ayah guna adalah jenis Raleigh, satu jenama basikal yang popular masa dulu. Ayah akan letakkan satu kerusi rotan di atas palang basikal di bahagian hadapan untuk membawa kami. Biasanya setiap kali hari raya, Ayah La akan dibawa solat di Tapang, dan kemudian akan ziarah saudara mara dan kenalan Ayah di sana. Kutipan biasanya agak memuaskan....

Basikal ini digunakan untuk beliau ke surau dan masjid untuk mengajar setiap malam, juga semasa beliau mengajar di merata tempat semasa menjadi guru Quran dalam Persatuan Ibubapa Menggalak Anak-Anak Membaca AlQuran (pejabatnya dulu mungkin di tapak New Pacific Hotel, Jalan Pengkalan Chepa sekarang). Semasa Ma mula membuat kueh untuk dihantar ke kedai makan bagi menambah pendapatan, basikal ini digunakan untuk menghantar kueh setiap pagi, dan bagi mengutip hasil jualannya pada sebelah petang. Kemudiannya bila Ayah mula membuat jeruk (kelubi dan lain-lain), basikal ini juga digunakan menghantar jeruk di kedai-kedai sekitar Jalan Bayam, Jalan Hospital dan Tapang.

Bila Ayah La dah pandai naik basikal, antara tugas Ayah La ialah menghantar jeruk kelubi ini dan kemudiannya mengutip hasil jualannya di sebelah petang menggunakan basikal ini. Dapatlah upah 5 sen setiap hari. Tetapi jeruk inilah juga yang menyebabkan basikal ini rusak teruk kerana acidity air jeruk menjadikan bahagian tengah basikal ini berkarat dan terpaksa dikimpal.

Ayah pernah menjadi AJK PIBG Sekolah Maahad Muhammadi, dan dia selalu berkata yang dialah satu-satunya AJK yang naik basikal. AJK yang lain sama ada berkereta ataupun bermotosikal. Mungkin dia agak segan, tapi rasanya tiada siapapun dalam PIBG Maahad Muhammadi semasa itu yang boleh merendah-rendahkan pencapaian Ayah dalam menyumbang kepada Sekolah Maahad Muhammadi. Dan beliau memang amat dihormati oleh guru-guru kerana sumbangan beliau ini.

Selepas basikal Raleigh Ayah rosak, Ummi Long yang semasa itu masih belajar di UKM telah berusaha membelikan motosikal untuk Ayah, Yamaha Passola yang ada sekarang ini. Boleh dikatakan basikal inilah punca rezeki yang membolehkan kami semua belajar dari Sekolah Majlis, Maahad Muhammadi dan ke Kolej Islam. Rangka basikal ini mungkin telah dibuang. Kadang-kadang terfikir juga, alangkah baiknya kalau rangka basikal ini juga dapat disimpan sebagai kenangan untuk anak cucu.




Thursday, February 18, 2010

Sedikit kenangan bersama Ayah



Lama benar tidak menulis di sini, meskipun selalu diziarahi untuk membaca nukilan2 lain dari adik beradik dan anak2 saudara yang lain.

1) Ayah dan nenas:

Minggu lepas kami beli nenas di Bagan Lalang. Bila tengok nenas pasti akan teringat pesanan Ayah tentang petua makan nenas. Waktu kecil2 dulu Ayah amat suka beli nenas. Kadang2 Ayah bawa balik nenas yang diberi percuma oleh kenalan atau anak murid beliau dari pasar. Boleh dikatakan dalam seminggu tu, dua tiga kali Ayah akan bawa balik buah nenas bila beliau ke pasar.

Nak tahu apa petuanya? Senang saja:
-kalau makan nenas sorang2, maka kita kena makan yang atas dahulu, yang di bawah atau di pangkal dimakan kemudian.
-kalau makan nenas bersama2 orang lain, kita kena makan yang di bawah dulu.

Logik tak petua Ayah tu? Kalau kita cerakinkan petua tu berdasarkan teori2 hubungan antara manusia yang terkini, bagaimana kita boleh jelaskan petua Ayah tu? :)

2) Ayah dan 'makan malam'

Semasa di Langgar di pertengahan tahun 60an dulu, masih ingat betapa Ayah akan pastikan semua orang makan malam jam 6 petang. Oleh itu, semua aktiviti petang seperti main bola dan sebagainya harus tamat awal dari itu. Sewaktu itu, kami tidak tahu langsung apa alasan kami semua didisiplinkan begitu. Oleh kerana Ayah dan Ma suruh makan, kami pun makanlah tanpa banyak songeh.

Bila sudah dewasa, suatu hari Ayah Wi bertandang ke MPI, berbual2 dengan Pengetuanya waktu itu, yang mengenali Ayah agak rapat sewaktu Ayah menyewa di Jalan Pintu Pong, kerana isteri Pengetua tersebut adalah anak Pak 'Ing jiran Ayah di situ. Pengetua tersebut menceritakaan kembali tentang satu petua Ayah yang dapat beliau pelajari, iaitu memberi makan malam kepada anak2 di akhir petang, dan bukannya di waktu malam. Barulah teringat semula tentang disiplin kami sewaktu kecil itu. Mengikut Pengetua berkenaan, petua Ayah itu beliau 'ciluk' dari orang2 Cina!

Baru2 ini di dalam satu program TV3 disebut bagaimana makan malam di awal malam boleh membantu mengurangkan obesiti, pertambahan berat badan, penyakit jantung, dan juga tekanan darah tinggi. Rupanya Ayah yang tidak pernah belajar sains tinggi2 macam kita semua dah praktiskan itu 45 tahun yang silam!

3) Ayah dan makhraj Quran:

Ayah selalu sebut, kalau muncung mulut tidak jadi 'huduh' itu maknanya bukan baca Quran yang betul lagi. Ertinya, makhraj yang terkeluar dari mulut kita belumlah merupakan Makhraj yang betul2 menjadi kalau mulut kita tidak dimuncungkan, diherotkan, dan lidah kita tidak buat gimnastik yang canggih di dalam penariannya dalam mulut kita.

Yang ni memang terlalu amat betul, terutamanya bila diingatkan kita orang Melayu bila bertutur tidak begitu banyak memuncungkan mulut, tidak macam orang Arab atau orang Inggeris atau Mat Salleh. Lidah dan mulut kita kebanyakkannya sadin bersahaja di dalam pertuturan.

4) Ayah dan kerja:

Kalau diingatkan balik, Ayah amat komited dengan kerjayanya sebagai seorang guru agama. Di pagi hari keberangkatannya, dia masih menyebut2 di mana suis motorsikalnya, dan di mana cermin matanya. Itulah kata hukama', bagaimana kita hidup, begitulah kita akan mati.

Ayah juga seorang yang kuat bekerja. Ayah hanya berhenti kerja full-time mencari rezeki sebagai Guru KEMAS barangkali di usia mencecah 65 tahun, iaitu sekitar tahun 87-88. Sewaktu Ayah Di tamat pengajian beliau di tahun 79?, Ayah sudah berusia 56 tahun. Di usia itu, bagi kebanyakan orang, mereka sudah boleh berehat dan 'makan pencen', tapi Ayah masih perlu terus bekerja kuat sebab ada berderet2 lagi yang masih belajar dan yang masih mengharapkan wang dan bimbingan dari beliau meskipun sudah belajar di universiti. Masih terngiang2 di telinga betapa Ayah selalu sebut kepada teman2 beliau yang datang bertandang di rumah bahawa beliau masih berada 'di tengah laut' lagi sebab masih ramai anak yang sedang terumbang ambing di tengah gelora belajar di pelbagai peringkat. Masih terbayang2 betapa dulu2, selalu terfikir apa akan jadi kepada pengajian kami semua kalau ditakdirkan Allah, Ayah dipanggil mengadapNya di masa kita semua masih tengah 'laut' masa itu.

Bila melihat sendiri di usia mencecah 50 seperti Ayah Wi sekarang pun sudah mula timbul perasaan ingin 'slow down' dan 'take a break', Ayah Wi tabik hormat penuh syahdu kepada Ayah kerana di usia mencecah 60 tahun pun, beliau masih gigih bekerja mencari rezeki membela anak2 walaupun tenaga dan kudrat beliau tentunya semakin menyusut, apatah lagi dengan mengayuh basikal ke hulu ke hilir di tengah panas matahari.

Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik disisiMu untuk Ayahandaku ini!