Lama benar tidak menulis di sini, meskipun selalu diziarahi untuk membaca nukilan2 lain dari adik beradik dan anak2 saudara yang lain.
1) Ayah dan nenas:
Minggu lepas kami beli nenas di Bagan Lalang. Bila tengok nenas pasti akan teringat pesanan Ayah tentang petua makan nenas. Waktu kecil2 dulu Ayah amat suka beli nenas. Kadang2 Ayah bawa balik nenas yang diberi percuma oleh kenalan atau anak murid beliau dari pasar. Boleh dikatakan dalam seminggu tu, dua tiga kali Ayah akan bawa balik buah nenas bila beliau ke pasar.
Nak tahu apa petuanya? Senang saja:
-kalau makan nenas sorang2, maka kita kena makan yang atas dahulu, yang di bawah atau di pangkal dimakan kemudian.
-kalau makan nenas bersama2 orang lain, kita kena makan yang di bawah dulu.
Logik tak petua Ayah tu? Kalau kita cerakinkan petua tu berdasarkan teori2 hubungan antara manusia yang terkini, bagaimana kita boleh jelaskan petua Ayah tu? :)
2) Ayah dan 'makan malam'
Semasa di Langgar di pertengahan tahun 60an dulu, masih ingat betapa Ayah akan pastikan semua orang makan malam jam 6 petang. Oleh itu, semua aktiviti petang seperti main bola dan sebagainya harus tamat awal dari itu. Sewaktu itu, kami tidak tahu langsung apa alasan kami semua didisiplinkan begitu. Oleh kerana Ayah dan Ma suruh makan, kami pun makanlah tanpa banyak songeh.
Bila sudah dewasa, suatu hari Ayah Wi bertandang ke MPI, berbual2 dengan Pengetuanya waktu itu, yang mengenali Ayah agak rapat sewaktu Ayah menyewa di Jalan Pintu Pong, kerana isteri Pengetua tersebut adalah anak Pak 'Ing jiran Ayah di situ. Pengetua tersebut menceritakaan kembali tentang satu petua Ayah yang dapat beliau pelajari, iaitu memberi makan malam kepada anak2 di akhir petang, dan bukannya di waktu malam. Barulah teringat semula tentang disiplin kami sewaktu kecil itu. Mengikut Pengetua berkenaan, petua Ayah itu beliau 'ciluk' dari orang2 Cina!
Baru2 ini di dalam satu program TV3 disebut bagaimana makan malam di awal malam boleh membantu mengurangkan obesiti, pertambahan berat badan, penyakit jantung, dan juga tekanan darah tinggi. Rupanya Ayah yang tidak pernah belajar sains tinggi2 macam kita semua dah praktiskan itu 45 tahun yang silam!
3) Ayah dan makhraj Quran:
Ayah selalu sebut, kalau muncung mulut tidak jadi 'huduh' itu maknanya bukan baca Quran yang betul lagi. Ertinya, makhraj yang terkeluar dari mulut kita belumlah merupakan Makhraj yang betul2 menjadi kalau mulut kita tidak dimuncungkan, diherotkan, dan lidah kita tidak buat gimnastik yang canggih di dalam penariannya dalam mulut kita.
Yang ni memang terlalu amat betul, terutamanya bila diingatkan kita orang Melayu bila bertutur tidak begitu banyak memuncungkan mulut, tidak macam orang Arab atau orang Inggeris atau Mat Salleh. Lidah dan mulut kita kebanyakkannya sadin bersahaja di dalam pertuturan.
4) Ayah dan kerja:
Kalau diingatkan balik, Ayah amat komited dengan kerjayanya sebagai seorang guru agama. Di pagi hari keberangkatannya, dia masih menyebut2 di mana suis motorsikalnya, dan di mana cermin matanya. Itulah kata hukama', bagaimana kita hidup, begitulah kita akan mati.
Ayah juga seorang yang kuat bekerja. Ayah hanya berhenti kerja full-time mencari rezeki sebagai Guru KEMAS barangkali di usia mencecah 65 tahun, iaitu sekitar tahun 87-88. Sewaktu Ayah Di tamat pengajian beliau di tahun 79?, Ayah sudah berusia 56 tahun. Di usia itu, bagi kebanyakan orang, mereka sudah boleh berehat dan 'makan pencen', tapi Ayah masih perlu terus bekerja kuat sebab ada berderet2 lagi yang masih belajar dan yang masih mengharapkan wang dan bimbingan dari beliau meskipun sudah belajar di universiti. Masih terngiang2 di telinga betapa Ayah selalu sebut kepada teman2 beliau yang datang bertandang di rumah bahawa beliau masih berada 'di tengah laut' lagi sebab masih ramai anak yang sedang terumbang ambing di tengah gelora belajar di pelbagai peringkat. Masih terbayang2 betapa dulu2, selalu terfikir apa akan jadi kepada pengajian kami semua kalau ditakdirkan Allah, Ayah dipanggil mengadapNya di masa kita semua masih tengah 'laut' masa itu.
Bila melihat sendiri di usia mencecah 50 seperti Ayah Wi sekarang pun sudah mula timbul perasaan ingin 'slow down' dan 'take a break', Ayah Wi tabik hormat penuh syahdu kepada Ayah kerana di usia mencecah 60 tahun pun, beliau masih gigih bekerja mencari rezeki membela anak2 walaupun tenaga dan kudrat beliau tentunya semakin menyusut, apatah lagi dengan mengayuh basikal ke hulu ke hilir di tengah panas matahari.
Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik disisiMu untuk Ayahandaku ini!