Monday, February 23, 2009

Rumah Sewa Ayah Di Jalan 'Postopeh' Lama, Kubang Pasu.

5. Rumah Sewa Ayah Di Kubang Pasu:

Rumah kedai ini terletak di Jalan Post Office Lama @ 'postopeh lama'. Dinamakan begitu kerana dulunya ada bangunan pejabat pos lama di tepi jalan ini berhampiran Padang Bank @ Padang Merdeka Kota Bharu. Pejabat pos baru terletak di Jalan Ibrahim, Kota Bharu.

Lokasi rumah sewa itu berhampiran Pasar Kubang Pasu, satu kawasan yang tidak jauh dengan Sungai Budor off Sungai Kelantan. Tanahnya agak rendah mudah digenangi air. Bila musim banjir selalunya di hujung tahun / bulan dua belas, para penduduk akan memindahkan barangan rumah mereka ke tempat lebih tinggi. Mereka juga akan bertali arus di atas jalan raya bermain air.

Di sekitar kawasan ini banyak dihuni oleh puak-puak keturunan 'nik'. Jadi kawan-kawanku di sini adalah anak 'nik-nik' antaranya Nik Afendi dan Nik Ishak. Rumah-rumah mereka besar dan berhalaman luas menjadi kawasan permainan. Setengah daripada mereka adalah keluarga 'bangsawan' atau 'kaya-kaya'. Yang bagusnya mereka baik-baik dan menghormati jiran-jiran seperti kami.

Beberapa orang kawanku di sini selalu mengajakku bermain, berenang atau mandi sungai berhampiran, Sungai Budor atau Sungai Keladi. Ayah selalu berpesan kepadaku jangan pergi ke sungai. Bahaya boleh lemas, katanya. Namun, sesekali aku ikut mandi sungai dan berenang tanpa pengetahuan ayah. Kami berenang dan mandi di rakit tepi Sungai Budor. Waktu itu air sungai masih jernih hingga menjadi tempat mandi manda dan membasuh pakaian bagi penduduk di situ. Sejak tahun 80an, air sungai sekitar kawasan itu telah keruh seperti teh susu akibat pencemaran dan sampah sarap 'water polution'. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidur ke!

Selalunya bila musim kemarau air sungai surut dan tohor sehingga kami boleh mengharung air berjalan kaki hingga ke tengah sungai untuk mencari etak. Seronok kutip etak live secara langsung dalam sungai tohor!

Pernah sekali ketika kami bermain kejar mengejar sambil berenang di sungai, aku terpaksa melintasi kawasan 'dalam tak terpijak'. Walau pun aku sudah pandai berenang, masa mengejar seorang kawan tiba-tiba aku berasa lemah, lelah dan nafasku makin semput. Aku lemas dan pasrah dihanyut arus. Nasibku baik kata seorang kawan, aku ditolong dan ditarik ke tepian oleh seorang makcik yang sedang mandi di situ. Jika tidak kerana pertolongan makcik tersebut, kawan-kawan memberitahu mungkin aku akan dihanyut arus sungai dan boleh mati lemas. Syukur alhamdulillah, umurkan masih ada lagi; namun insiden itu telah memberi kesan besar kepadaku bahawa nahas boleh terjadi jika tidak mendengar nasihat ayah. Peristiwa itu tetap menjadi rahsia dan kenangan aku dan kawan-kawan; ayah tetap tidak mengetahuinya.

Tinggal di mana-mana pun akan ada kisah-kisah pahit manisnya. Semasa tinggal di rumah sewa Jalan Post Office Lama atau Kubang Pasu itu umurku barangkali 10-11 tahun di antara tahun 1962-63 (?) . Penduduk-penduduk di sekitarnya menjalankan perniagaan secara kecilan di Pasar Kubang Pasu, menconteng kain batik, pegawai kerajaan, drebar kereta atau bekerja di kilang macis api (Cap Lada) ' kilang ggesek bemba' @ Kelantan Match Factory di pinggir Sungai Keladi dekat Kampung Banggol. Kilang tersebut dimiliki oleh keluarga India Muslim dari Bombay.

Masih kuingat, setiap pagi jumaat selepas solat subuh penduduk di situ akan berduyun-duyun ke kilang ggesek tersebut untuk berebut mendapatkan sisa-sisa kayu atau kulit kayu balak lebihan / buangan dari kilang itu untuk dijadikan kayu api. Penduduk lelaki dan perempuan akan mengangkut sisa-sisa kayu itu dengan memikul, menjunjung, mengelek malah memuatkannya dalam kereta tolak bertali-arus hinggalah ke siang. Macam berpesta pula riuh rendah mereka memenuhi kawasan kilang itu,hingga kadang-kadang ada yang bergaduh dan berbalah. Itulah bagusnya pihak kilang tersebut membantu dengan menyedekahkan kepada orang-orang sekitar mendapatkan bahan kayu api, maklumlah di bandar mana ada banyak kayu api utnuk memasak. Dapur gas belum ada. … ( ada lagi…)

Monday, February 16, 2009

Aduh. rindunya kepada Ayah

Salam,

I accidently dropped my tears reading the sms from Cik Su. Aduh, rindunya kepada Ayah. I have been wishing that at least Ayah could come to me in my sleep in one of those days, just to ubatkan kerinduan dan keteringatan kepada Ayah.

Alhamdulillah, Tik dapat penghormatan pertama untuk Ayah kunjungi Tik dalam mimpi. Abang Wi tumpang seronok dan sangat sayu mendengarnya.

Semoga Ayah berbahagia di sana sekarang. Man ahabba liqa-Allah, ahabballaha liqa-ahu.

Allahummaghfir li-abi, wa-adkhil hul jannah.


Tazkirah dari Che Su

Semalam Che Su sms....

" sekadar nak kongsi mimpi 2 mlm lepas Tik mimpi ayah. Ayah dok dekat pintu bilik dia, Tik bagitau ayah, kali ni Tik lambat sikit khatam utk ayah, ayah kata dia bukan nak suruh kejar baca banyak2 tapi dia nak kita faham maksud ayat jugak"

Che Su kata mungkin mimpi ni boleh jadi tazkirah utk kita semua....InshaAllah


Sunday, February 8, 2009

Terkenang Ayah Lagi

Tiba-tiba malam ni teringat waktu kecik2. Sebab kita semua adik beradik jenis yang penakut, maka malam-malam selalu la tertidur di ruang tamu rumah, tak berani masuk bilik tidur. Jadi bila ayah balik ngajar di balaisah, ayah akan memunggah sorang demi sorang masuk ke bilik. Kadang2 tersedar masa tengah ayah dokong, tapi tak buka la mata, sebab nak terus berada atas dokong ayah. Kalu ayah tau dah sedar, nanti ayah suh jalan sendiri. Rasanya semua ada pengalaman ni..berlakon masa ayah usung masuk bilik.
Masa kecik2 juga, setiap hari ayah gi pasar, ayah akan beli jagung. Selalunya jagung rebus yang dijual dalam daun pisang, yang diletak kelapa + gula. Tak puas ayah membelinya, dan tak puas juga la kita adik beradik memakannya. Kami yang kecik2 selalu dapat lebih, dan selalulah pula kami 'dikecek' oleh abe wi, abg ni & abg la, sampai sanggup jadi ayam la, kambing la, dok bawah meja. Kami yang dok atas meja dengan seronoknya akan membaling apa2 je makanan yang kami ada terus ke dalam mulut buaya2 di bawah. Maka kenyang la buaya2 @ ayam2 @ kambing2 itu, sampai kami tak tersedar makanan kami tak sempat dimakan, habis disuap kepada 'ternakan'...
Dan dengan cucu2 pun,perkara sama ayah lakukan, ke pasar dan membeli makanan kepada cucu2nya. Puas la kami melarang ayah dari membeli gula2 dan aiskrim, yang bukan sedikit dibeli. Bila ayah tau kami tak suka, ayah akan sembunyi2 beli. Dan bila ditegur sebab banyak beli gula2, kita pulak yang ayah marah, ayah kata kesian budak2. Itulah ayah kita, yang teramat mengasihi anak cucunya.

Abid, Bee dan 'Pak Cik'

Masa: 3 atau 4 tahun lepas. Masa tu Abid mungkin umur 2 atau 3 tahun.

Tempat: Depan rumah di Kota Bharu.

Abid tengah naik motor Pasola Ayah, ala-ala merempit gitu. Di belakangnya ada seorang minah sedang membonceng, Bee yang lebih kurang sama baya dengan penunggangnya.

Tiba-tiba Ayah datang dan jerkah 'jange main motor. Turun!!!'.

Terkulat-kulat budak dua orang tu turun dengan lajunya, sambil Abid berkata dengan pelatnya (sekarang ni pun pelat lagi) 'Pak Cik maghah. Dia suyuh tuyun'.

Itulah Ayah, yang dipanggil Pak Cik masa tu oleh Abid, yang begitu concerned takut cucu-cucunya sakit kalau motor tu tumbang. Sampai sekarang ni pun Abid masih komplen yang dia dah tak ada datuk lagi, sebagaimana dia selalu komplen yang dalam kelasnya, dia seorang saja yang tak ada adik.

Monday, February 2, 2009

Video Ayah Dalam Kenangan

Version 0001 video tersebut yang memakan masa tayangan hampir setengah jam, telah siap. Saiz failnya agak besar iaitu melebihi 120MB, jadi kalau sesiapa yang mahu melihat video berkenaan kenalah berjumpa dengan Ayah Wi sendiri dan jangan lupa bawa USB drive masing-masing.

Untuk adik-beradik di Kota Bharu, video tersebut boleh diperolehi dari Che Nor.

Ayah Wi masih lagi mengumpulkan klip gambar2 lama untuk dimasukkan dalam video tersebut. Jika anda semua ada simpanan gambar2 unik yang boleh dikongsikan bersama, sila scan gambar tersebut dan hantarkan kepada Ayah Wi untuk dimasukkan ke dalam video version 0002 nanti.

Wassalam,

Ayah Wi 

Sunday, February 1, 2009

Ayah Sangat Sukakan Ilmu dan Mencatat Ilmu.

Ayah sangat sukakan ilmu. Padaku dia memahami benar mafhum kalamullah: " Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik?" Ayah amat suka menuntut ilmu dan sanggup berhabis demi mendapatkan ilmu untuk dirinya dan anak-anaknya.

Ketika usianya hampir mececah 70 tahun ketika diizin Allah menjadi tetamuNya di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan rukun Islam ke 5 dalam tahun 1989, ayah membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli kitab-kitab di sana, antaranya kitab 'Bahrul-Mazi' oleh Sheikh Muhammad Idris Abdurrauf Al-Marbawi yang tersohor itu. Ketara ia amat berbangga dapat memiliki ensaiklopedia ilmu Islam yang berjilid-jilid itu. Dua kitab yang pernah kutunaikan pesanan beliau agar dibelikan untuknya ialah kitab Tafsir Al-Quran oleh A. Hassan dan kitab Al-Azkar oleh Al-Imam An-Nawawi.

Ayah memang suka membaca dan menatap kitab-kitab. Selain selalu membaca surah-surah tertentu dari Al-Quran hingga mencapai 1000 ayat yang memang dihafaznya setiap pagi selepas solat Subuh, ayah akan menatap kitab-kitab. Ayah meminati ilmu hadis dan bidang fiqh. Ayah juga suka membaca akhbar jawi Utusan Melayu kemudiannya Utusan Zaman. Penjual akhbar di Berek Duabelas PakSoh atau isterinya selalunya akan menyimpan senaskhah tersebut setiap hari buat ayah. Dalam usia lanjutnya juga dia pernah menadah kitab dengan almarhum Baba Abdul Aziz dari Pattani. Ayah sangat menghormati guru terakhirnya ini hingga ke akhir hayat guru tersebut.

Ayah pernah bagi tahu tentang sepotong hadis yang mafhumnya: ' Jadilah kamu seorang 'alim (berilmu/mengajar) atau orang yang menuntut ilmu atau pendengar hal-hal ilmu, jangan kamu jadi yang ke 4 nescaya kamu musnah (jahil). Ayah sangat sukacita dan berbangga jika anak-cucunya berjawatan pensyarah, ustaz, guru atau tenaga pengajar ilmu. Beliau selalu menyebut kata-kata berhikmah tentang menuntut ilmu yang mafhumnya: ' Sebaik-baik pekerjaan ialah pengajar ilmu @ al-mu'allim. Diri ayah sendiri adalah uswah hasanah juga dalam bab ini.

Dengan motor Yamaha Pasola merahnya, ayah sendiri ke tempat mengajarnya di beberapa masjid, madrasah atau surau hingga ke tahun-tahun akhir beliau keuzuran. Atas nasihat anak-anak, dia terpaksa mengurang malah menghentikan aktiviti amal baik kesayangannya itu. Madrasah terakhir kunjungan ilmu beliau ialah madrasah Pak Mat Sa'ari Kg Pulau Kapas.

Sebelum ayah kembali ke rahmatullah dia mewasiatkan agar kitab-kitab miliknya yang banyak itu tidak berganjak dari rak almarinya atau dibawa keluar dari rumah. Maksud ayah barangkali supaya anak-cucu 'membaca, mencari dan menyelidik' apakah isi kutubkhanahnya itu, meniru sifatnya yang suka membaca atau sebagai kenangan abadi menandakan ayah seorang yang sangat meminati ilmu agama.

Satu lagi minat atau cara ayah mendapatkan ilmu ialah mencatat. Ayah suka mencatat pada kulit kitab-kitabnya sebagai ingatan atau bahan ulangkaji. Banyak bukunya termasuk buku catatan hariannya 'dikotori' tulisan-tulisan ayah sebagai nota atau peringatan. Tulisan-tulisan ada potongan ayat suci al-Quran, hadis, kata-kata hukama atau syair selain peringatan-peringatan lain.

Sebuah kitab milik ayah bercatat 'tahta yadi Haji Muhammad bin Haji Awang Guchil' kini berada padaku bernama 'Khazinatul-asrar Jalilatul-azkar' oleh Al-Ustaz As-Sayyid Muhammad Haqi Al-Nazili. Seingatku dia memberinya kepadaku supaya membacanya. Terdapat banyak catatan ayah pada kulit depan dan belakang kitab tersebut.

Diperturunkan antara catatan ayah itu agar kita juga dapat fikir-fikirkan maklumatnya sambil menggetus faedah dan manfaaatnya. Insya Allah.

1. Nabi Khidhir namanya Balya bin Mulkan.
2. Ilmu Tasawwuf ialah ilmu takmilah kepada ilmu Tauhid dan Fiqh.
3. Doa Rasulullah s.a.w terhadap kaumnya: Allahummahdi qaumi fainnahum laa ya'lamuun ( Tuhan kami hidayahkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui)
4. Doa Nabi Syu'aib a.s: " Allahumaftah baini......mafhumnya: Ya Tuhan kami bukakan (hati) antara aku dan kaumku dengan kebenaran dan Engkau jualah sebaik-baik pembuka (hati).
............( ada lagi...)

Sebulan Dah Berlalu...

Sebulan dah berlalu sejak ayah pergi mengadap Rabb, meninggalkan kita semua.. Banyak peristiwa berlaku selepas pemergian ayah..dan masih banyak airmata mengalir mengenang kasih ayah...ingin dikongsi bersama apa yang kami alami sehari dua ini...

Kisah 1:
Jumaat 30 Jan, kami ke kubur ayah. Sesampai shj depan pagar, terserempak Ustaz Daud...tersentak, melihat persamaan wajahnya dengan ayah yang amat kami rindui..airmata pun mengalir laju tanpa sedar.

Kisah 2:
Jam 11 pagi Sabtu, 31 Januari, seorang wanita dtg ke rumah, meminta sedekah. Dengan sebahagian dari perutnya yang begitu buncit, wajah yang kesakitan dan kelelahan, beliau memohon simpati kami untuk memberikannya sedikit wang, buat belanja anaknya yang ingin membeli pakaian sukan..Dia menceritakan bahawa dia sakit dalam perut, dan menyelak perutnya yang akan dibedah pertengahan bulan ni.Amat pelik bengkak perutnya,tak pernah kami lihat penyakit seperti itu sebelum ini. Dah lama dia menanggung sakit, tetapi kerana dia berasal dari Thailand, setelah mendapat IC merah barulah dia boleh mendapatkan rawatan di HKB. Setelah diberikan wang sebanyak RM20, dia terkejut, dan mencium wang itu sambil menangis teresak-esak..."rezeki saya...rezeki saya...banyaknya kak bagi...saya doakan kak murah rezeki'' Alangkah.....Alangkah…. Kami juga mengalir airmata menahan sebak di dada. Afaaf pula terus memanggil ma keluar, dan ma jg memberikannya RM20..makin kuat esaknya..dia menyambung cerita bahawa dia berjalan kaki dari Sri Cemerlang, rumah kakak tempat dia menumpang, kerana dia hanya mempunyai RM1 dan tidak mampu membayar tambang teksi untuk keluar meminta sedekah. Kami menyuruhnya datang lagi, dan kami juga akan mengunjungi rumah tumpangannya. Memang kita dah diajar sejak kecil, agar membantu orang susah, menjadikan kita tidak sanggup melihat kesusahan orang lain. Malah kita juga pernah merasainya, dan kita tahu peritnya sebuah kemiskinan. Tapi kesusahan kita tidak segetir perempuan yang datang itu. Anaknya 6 orang, 3 dah diserahkan sebagai anak angkat. Ayah amat menekankan sedekah. Setiap kali peminta sedekah datang, ayah akan segera memberikan wang. Dan kerana kemurahannya, ayah pernah tertipu, apabila ada seorang lelaki berduit dan berumah besar dtg meminta sedekah, tetapi tidak lama selepas itu kami temui dan dapati dia seorang yang berharta. Panjang lebar ceritanya ‘kelentong’ ayah..Dia dapat bahagiannya – selain wang yang ayah sedekahkan, dan ayah juga dapat balasannya - pahala dari Yang Maha Mengetahui kerana niat baik ayah..
Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah kurniakan kami ayah dan ibu yang telah mengajar kami erti kasihan belas, yang sentiasa menerapkan dalam diri kami untuk berkongsi kesusahan orang lain, dan yang telah menanam perasaan ihsan yang tinggi dalam diri kami...Jika tidak kerana kurnia-Mu ini, kami mungkin anak-anak yang tidak berterima kasih, kami mungkin hamba-Mu yang tidak bersyukur. Ayah yang telah pergi, berbahagialah di sana...ajaran dan didikan ayah, melekat kukuh di hati kami...jiwa kami yang dibajai ayah dulu sentiasa subur. dan benak kami sudah ayah pahat sekuatnya..Insya Allah, sampai mati, kami amal apa yang ayah sentiasa syarahkan..

Kisah 3:

Kami bawa ma ke kedai Jaafar Rawas, ma nak beli sendiri kain pelekat untuk ngaji 40 ayah...Lepas beli kain, kami ke kedai nasi sumatera berhampiran...kedai yang ayah selalu pergi..semua anak-anak tahu ayah suka makan nasi sumatera. Kalau kami bawa ayah ke bandar, ayah pasti nak singgah kedai tu.Ayah akan kata ayah dahaga..Sebenarnya ayah nak belanja kami makan..Kami cukup faham..sebab ayah tak makan pun, ayah cuma minum dan beria-ia suruh kami order makanan.Kali terakhir kami bawa ayah ke situ ialah awal tahun lepas..tapi ayah dah tak boleh masuk dalam kedai lagi. Kami order teh untuk ayah, dan bawa secawan teh itu ke dalam kereta untuk ayah minum..

Terlalu banyak kenangan kami bersama ayah yang tak mampu dicatat kesemuanya.

Sabtu 31 Januari juga, kami mendapat berita durian berbuah. Kami menangis lagi mengingatkan betapa bersungguhnya ayah setiap kali musim durian tiba….