Friday, May 7, 2010

Basikal Ayah

Sudah lama tidak menulis di sini. Mungkin kita sibuk melayan berbagai medium internet lain seperti facebook dan sebagainya. Tapi bagi Ayah La, di sinilah Ayah La boleh berkongsi catatan dan anekdot kehidupan tentang Ayah untuk tatapan anak-anak, dan semua catatan ini akan terus kekal dalam blog ini. Sekurang-kurangnya mereka mungkin dapat memahami serba sedikit latar belakang kehidupan ayah dan datuk mereka.

Basikal merupakan 'kenderaan' utama Ayah untuk hampir keseluruhan hidupnya, dan basikal juga menjadi sumber Ayah mencari rezeki. Mungkin basikal jugalah yang menjadi faktor Ayah tidak menghadapi banyak masalah kesihatan sepanjang hidupnya-tiada masalah jantung, kencing manis ataupun darah tinggi.

Basikal yang Ayah guna adalah jenis Raleigh, satu jenama basikal yang popular masa dulu. Ayah akan letakkan satu kerusi rotan di atas palang basikal di bahagian hadapan untuk membawa kami. Biasanya setiap kali hari raya, Ayah La akan dibawa solat di Tapang, dan kemudian akan ziarah saudara mara dan kenalan Ayah di sana. Kutipan biasanya agak memuaskan....

Basikal ini digunakan untuk beliau ke surau dan masjid untuk mengajar setiap malam, juga semasa beliau mengajar di merata tempat semasa menjadi guru Quran dalam Persatuan Ibubapa Menggalak Anak-Anak Membaca AlQuran (pejabatnya dulu mungkin di tapak New Pacific Hotel, Jalan Pengkalan Chepa sekarang). Semasa Ma mula membuat kueh untuk dihantar ke kedai makan bagi menambah pendapatan, basikal ini digunakan untuk menghantar kueh setiap pagi, dan bagi mengutip hasil jualannya pada sebelah petang. Kemudiannya bila Ayah mula membuat jeruk (kelubi dan lain-lain), basikal ini juga digunakan menghantar jeruk di kedai-kedai sekitar Jalan Bayam, Jalan Hospital dan Tapang.

Bila Ayah La dah pandai naik basikal, antara tugas Ayah La ialah menghantar jeruk kelubi ini dan kemudiannya mengutip hasil jualannya di sebelah petang menggunakan basikal ini. Dapatlah upah 5 sen setiap hari. Tetapi jeruk inilah juga yang menyebabkan basikal ini rusak teruk kerana acidity air jeruk menjadikan bahagian tengah basikal ini berkarat dan terpaksa dikimpal.

Ayah pernah menjadi AJK PIBG Sekolah Maahad Muhammadi, dan dia selalu berkata yang dialah satu-satunya AJK yang naik basikal. AJK yang lain sama ada berkereta ataupun bermotosikal. Mungkin dia agak segan, tapi rasanya tiada siapapun dalam PIBG Maahad Muhammadi semasa itu yang boleh merendah-rendahkan pencapaian Ayah dalam menyumbang kepada Sekolah Maahad Muhammadi. Dan beliau memang amat dihormati oleh guru-guru kerana sumbangan beliau ini.

Selepas basikal Raleigh Ayah rosak, Ummi Long yang semasa itu masih belajar di UKM telah berusaha membelikan motosikal untuk Ayah, Yamaha Passola yang ada sekarang ini. Boleh dikatakan basikal inilah punca rezeki yang membolehkan kami semua belajar dari Sekolah Majlis, Maahad Muhammadi dan ke Kolej Islam. Rangka basikal ini mungkin telah dibuang. Kadang-kadang terfikir juga, alangkah baiknya kalau rangka basikal ini juga dapat disimpan sebagai kenangan untuk anak cucu.




1 comment:

  1. lebih dr 30 tahun ayah jd AJK PIBG..lepas di Maahad Muhammadi, di Maktab Pengajian Islam pula..ayah dipilih walau pun anak ayah tak ada sorg pun belajar di situ.mereka perlukan sumbangan idea, dan tenaga ayah juga, kerana ayah suka mengutip derma.kalau PIBg buat kutipan derma, ayah akan bawa buku resit ke hulu ke hilir..

    ReplyDelete