Monday, February 23, 2009

Rumah Sewa Ayah Di Jalan 'Postopeh' Lama, Kubang Pasu.

5. Rumah Sewa Ayah Di Kubang Pasu:

Rumah kedai ini terletak di Jalan Post Office Lama @ 'postopeh lama'. Dinamakan begitu kerana dulunya ada bangunan pejabat pos lama di tepi jalan ini berhampiran Padang Bank @ Padang Merdeka Kota Bharu. Pejabat pos baru terletak di Jalan Ibrahim, Kota Bharu.

Lokasi rumah sewa itu berhampiran Pasar Kubang Pasu, satu kawasan yang tidak jauh dengan Sungai Budor off Sungai Kelantan. Tanahnya agak rendah mudah digenangi air. Bila musim banjir selalunya di hujung tahun / bulan dua belas, para penduduk akan memindahkan barangan rumah mereka ke tempat lebih tinggi. Mereka juga akan bertali arus di atas jalan raya bermain air.

Di sekitar kawasan ini banyak dihuni oleh puak-puak keturunan 'nik'. Jadi kawan-kawanku di sini adalah anak 'nik-nik' antaranya Nik Afendi dan Nik Ishak. Rumah-rumah mereka besar dan berhalaman luas menjadi kawasan permainan. Setengah daripada mereka adalah keluarga 'bangsawan' atau 'kaya-kaya'. Yang bagusnya mereka baik-baik dan menghormati jiran-jiran seperti kami.

Beberapa orang kawanku di sini selalu mengajakku bermain, berenang atau mandi sungai berhampiran, Sungai Budor atau Sungai Keladi. Ayah selalu berpesan kepadaku jangan pergi ke sungai. Bahaya boleh lemas, katanya. Namun, sesekali aku ikut mandi sungai dan berenang tanpa pengetahuan ayah. Kami berenang dan mandi di rakit tepi Sungai Budor. Waktu itu air sungai masih jernih hingga menjadi tempat mandi manda dan membasuh pakaian bagi penduduk di situ. Sejak tahun 80an, air sungai sekitar kawasan itu telah keruh seperti teh susu akibat pencemaran dan sampah sarap 'water polution'. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidur ke!

Selalunya bila musim kemarau air sungai surut dan tohor sehingga kami boleh mengharung air berjalan kaki hingga ke tengah sungai untuk mencari etak. Seronok kutip etak live secara langsung dalam sungai tohor!

Pernah sekali ketika kami bermain kejar mengejar sambil berenang di sungai, aku terpaksa melintasi kawasan 'dalam tak terpijak'. Walau pun aku sudah pandai berenang, masa mengejar seorang kawan tiba-tiba aku berasa lemah, lelah dan nafasku makin semput. Aku lemas dan pasrah dihanyut arus. Nasibku baik kata seorang kawan, aku ditolong dan ditarik ke tepian oleh seorang makcik yang sedang mandi di situ. Jika tidak kerana pertolongan makcik tersebut, kawan-kawan memberitahu mungkin aku akan dihanyut arus sungai dan boleh mati lemas. Syukur alhamdulillah, umurkan masih ada lagi; namun insiden itu telah memberi kesan besar kepadaku bahawa nahas boleh terjadi jika tidak mendengar nasihat ayah. Peristiwa itu tetap menjadi rahsia dan kenangan aku dan kawan-kawan; ayah tetap tidak mengetahuinya.

Tinggal di mana-mana pun akan ada kisah-kisah pahit manisnya. Semasa tinggal di rumah sewa Jalan Post Office Lama atau Kubang Pasu itu umurku barangkali 10-11 tahun di antara tahun 1962-63 (?) . Penduduk-penduduk di sekitarnya menjalankan perniagaan secara kecilan di Pasar Kubang Pasu, menconteng kain batik, pegawai kerajaan, drebar kereta atau bekerja di kilang macis api (Cap Lada) ' kilang ggesek bemba' @ Kelantan Match Factory di pinggir Sungai Keladi dekat Kampung Banggol. Kilang tersebut dimiliki oleh keluarga India Muslim dari Bombay.

Masih kuingat, setiap pagi jumaat selepas solat subuh penduduk di situ akan berduyun-duyun ke kilang ggesek tersebut untuk berebut mendapatkan sisa-sisa kayu atau kulit kayu balak lebihan / buangan dari kilang itu untuk dijadikan kayu api. Penduduk lelaki dan perempuan akan mengangkut sisa-sisa kayu itu dengan memikul, menjunjung, mengelek malah memuatkannya dalam kereta tolak bertali-arus hinggalah ke siang. Macam berpesta pula riuh rendah mereka memenuhi kawasan kilang itu,hingga kadang-kadang ada yang bergaduh dan berbalah. Itulah bagusnya pihak kilang tersebut membantu dengan menyedekahkan kepada orang-orang sekitar mendapatkan bahan kayu api, maklumlah di bandar mana ada banyak kayu api utnuk memasak. Dapur gas belum ada. … ( ada lagi…)

No comments:

Post a Comment