Friday, January 16, 2009

Ayah Kita: Separuh Hidupnya Di Rumah Sewa.

1. Rumah Sewa Pertama: Rumah Loteng Di Kg. Chempaka.

Umurku masa itu barangkali 6 tahun lebih. Belum bersekolah. Bersama Kak Dah tinggal dengan ayah dan ma di rumah kayu berloteng (dua tingkat). Tak silap aku, jiran sebelah rumah yang ayah sewa itu ialah kedai membeli getah. Manakala sebelahnya ialah Abang Mat Sabak yang mana isterinya Yah adalah sepupuku. Abang Mat Sabak membuka kedai menjahit menerima tempahan pakaian lelaki seperti baju Melayu, kemeja dan seluar.

Ayah berniaga runcit untuk sara diri dan keluarga.

Kisah yang aku ingat ketika tinggal bersama ayah di situ ialah sewaktu ma dan Kak Dah membawaku masuk kebun getah berdekatan untuk mencari kayu api. Aku membawa bekal biskut bunga untuk dimakan. Mereka meninggalkan aku sendirian di bawah sepohon kayu dan duduk beralaskan pelapah kelapa. Aku tertidur di situ. Sedar saja dari tidur yang dikejutkan kak Dah aku dapati seekor siput bulan bergerak di pipiku. Gelinya. Ma kata siput itu mahu cari makan, sebab aku selalu makan biskut bunga yang manis itu.

Kak Dah bersekolah di sekolah Kampong Belukar, Madrasah Hidayatul-'Ula ( diasaskan oleh ayah) @ 'Sekolah Cikgu Lib' /AbdulMutalib bin Kadir suami Makcik Som sepupu mak. Cikgu Lib berasal dari Kedah, beliaulah menjadi guru besarnya, Kak dah beritahu, aku juga sempat ikut belajar di darjah satu sekolah tersebut.

Kami akan ke rumah ayah di Kampung Chempaka pada setiap hujung minggunya. Pada hari persekolahan kami akan bersama mak. Mak juga telah tinggalkan rumah di Humalanas dan kembali duduk di rumah ibunya yang keuzuranWa Haji @ Hajjah Zainab bin Hj Muhammad isteri Tok Ayah @ Tok Guru Hj Wan Ismail.

Ayah tinggal dan berniaga runcit di Kg Chempaka hingga tahun 1957. Aku masih ingat, kami berpindah ke rumah kedai di belakang kota / Jalan Pintu Pong, bandar Kota Bharu. Masih kuingat kami sekeluaraga menaiki lori yang juga sarat dengan barangan perniagaan ayah menuju ke lokasi baru di bandar.

No comments:

Post a Comment