Sunday, December 20, 2009


GENAP SETAHUN AYAH KEMBALI KE RAHMATULLAH


Alone
ahad 3 muharram - hari ini genap setahun qamariah ayahanda kembali ke rahmatullah. ayah 'lucut nafas' pada jam 6.05 minit petang 3 muharram 1430H (bersamaan 31 disember 2008) yang lalu. jenazahnya di'simpan' di perkuburan kg belukar tapang lebih kurang 2oo meter dari rumahku. ayah bersemadi di sana bersama ayah bondanya hj awang b chik dan hjh membunga bt kadir (ninda kami), mertuanya tuan guru hj wan ismail b wan hassan dan hjh zainab bt hj muhammad (juga ninda kami), isterinya /mak kami hjh wan meriam dan kaum keluarga lain yang mendahulunya. semoga Allah subhanahu wata'ala mengampuni, merahmati dan meletakkan mereka bersama para salihiin. aamiin.

quoted dari GENI:

" Ayah La bercadang untuk mengadakan sedikit kenduri bagi memperingati ulangtahun pemergian Ayah, yang tentatifnya akan diadakan pada 25 hb Disember depan (bersamaan 8 Muharram). Objektif utama ialah untuk kita sama-sama membaca kalimah tayyibah untuk Ayah dan Mak, serta sama-sama membersihkan kubur datuk nenek pada siangnya. Jika sesiapa yang ingin mencadangkan tarikh lain, sila propose dalam forum ni. Ayah La bercadang utk menyumbangkan seekor kambing bagi majlis ini. Harap semua dapat meluangkan masa dan ambil cuti hujung tahun bagi menghadiri majlis ini."

Ekoran hal itu dalam forum di Geni..masing2 beri / tambah idea ke arah 'jadi' insya Allah... maka program itu akan berlangsung pada 31 Disember 2009M =14 Muharram 1431. Ikut tahun masehinya, genap setahun ayah kembali ke rahmatullah.

Kita berkumpul dan bertemu pada hari dan masa yang dijanjikan bersama itu. Insya Allah.

Thursday, October 22, 2009

Musim Haji Tiba Lagi... Sikit Nostalgia Bersama Ayoh Ke Mekah.


dalamkaabah.jpg

dalamkaabah2.jpg

Dalam bulan jun 20 tahun yang silam kami pergi menunaikan Rukun Islam ke 5, menunaikan ibadat Haji ke Mekah. Ayah D memang telah berhasrat akan ke Mekah setelah 10 tahun berkerja. Mula bertugas selaku guru apabila ditempatkan di SMVokasional Kuantan julai 1979.

Mulalah ayah D menabung dengan Tabung Haji RM100 sebulan. Ketika itu kami menyewa rumah di Baserah Kuantan RM140 sebulan. Bila berpindah tinggal di asrama sekolah selaku waden asrama, ayah D menambah tabung kepada RM200 sebulan. Gaji seorang guru siswazah B.A (Hons.) & Dip.Ed. ketika itu tidak sampai pun RM1000; hanya RM965.00. (kat. D1). Enam tahun di Kuantan, ayah D bertukar masuk Kelantan 1986, SMVokasional, Kuala Krai. Dua tahun kemudian 1988 ayah D masuk PPD Kota Bharu, mengajar di SMZainab Jalan Telipot.

Genap 10 tahun berkerja, insya Allah walhamdulillah kami: ayah D dan che Dah, almarhum ayoh, almarhumah mak, ma, mak long, ayah lim jengka, ayah ziz dan mokdik Norina dapat bertolak ke Mekah, memenuhi seruan Nabi Ibrahim a.s, menjadi tetamu Allah. Kalau tidak silap, belanja ke Mekah kami kena bayar RM4700 setiap orang (percuma satu) dengan syarikat (?) swasta Hj Yusof Pattani dan mutawwifnya Hj Ahmad Kassim @ Hj Mat Che Hil
.

Sedikit sebanyak kesukaran sebelum bertolak, semasa di sana dan delayed flight ketika di Jeddah selama 3 hari 3 malam dapat diatasi dengan penuh sabar dan redha. Alhamdulillah ayoh sihat dapat menyempurnakan amalan. Ayoh tidak banyak bercakap dan tidak suka berjalan berlegar seperti orang lain. Dia banyak berzikir dan baca al-Quran
.

Ayah banyak memberi tunjuk ajar secara lisan agar jiwa, lisan dan sikap kita sentiasa bersih dan selalu berzikir atau berselawat. Jangan mudah marah dan banyak2lah bersedekah. Dia sungguh bersedih, banyak berdoa dan solat hajat sewaktu ayah ziz 'hilang' 3 hari 3 malam... ditahan polis Mekah sebab tak bawak dokumen diri...begitu juga semasa delayed flight...'terkandas' di Jeddah masa hala balik. Kami selamat tiba di LT Pengkalan Chepa seterusnya ke kampung halaman disambut sanak keluarga. Sebahagian kami meninggalkan Lapangan Terbang Subang ke Pengkalan Chepa dengan Boeing 737 tetapi ayah ziz, ayoh, ma dan mokdik kena naik fokker, kapal terbang kipas! Mereka tiba agak lewat di PC walaupun mereka bertolak lebih dahulu di Subang.

Thursday, October 15, 2009

Selamat Menempuh Peperiksaan

Musim sekarang adalah musim peperiksaan. Jadi Ayah La mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat mengambil peperiksaan untuk semua cucu cicit Tok Ayah Mat. Jangan terlalu tension dan memberi tekanan pada diri sendiri, tapi pada masa yang sama berusahalah semampu mungkin untuk mencapai kejayaan.

Teringat masa kami dulu-dulu masa menempuh peperiksaan, tak kira sama ada peperiksaan penggal ataupun ujian besar seperti SRP, SPM etc. Ayoh tidak pernah memberi tekanan ataupun memaksa kami untuk mengkaji pelajaran sebelum peperiksaan. Tapi pada masa yang sama, kami lihat Ayoh akan selalu solat hajat setiap malam sepanjang peperiksaan. Kalau exam tu 2 minggu, maka dua minggu jugalah Ayoh akan di atas sejadah bersolat hajat untuk kami.

Kaifiyyat solat hajat yang Ayoh lakukan ialah dengan membaca surah alKaafirun sebanyak 3 atau lima kali pada rakaat pertama dan surah alIkhlas 3 atau 5 kali pada rakaat kedua. Pada sujud yang akhir, Ayoh akan sujud agak lama bagi bermunajat untuk kejayaan anak-anaknya.

Memang kunci kejayaan juga banyak bergantung kepada doa berterusan kedua ibubapa dan tidak hanya memberikan tekanan berlebihan kepada anak-anak, dan ini telah dibuktikan dengan apa yang Ayoh lakukan. Bagi Ayah La, antara perkara yang Ayah La tanamkan dalam fikiran ialah wajah Ayoh yang kepenatan selepas mengayuh basikal menghantar jeruk kelubi, kueh ataupun wajahnya yang nampak risau bila wang diperlukan untuk membayar yuran penggal ataupun peperiksaan besar. Ini menjadi pendorong untuk kami berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

Itulah cara Ayoh semasa kami menjalani peperiksaan. Tapi Ayoh juga ada cara tersendiri untuk motivate anak-anaknya yang dia nampak agak leka seperti 'high impact statement'nya kepada Ayah Ni yang semuanya kita dah tahu 'bodoh dengan malas tu bagi kat orang lain, kita ambik pandai dengan rajin'. Very powerful words that have totally changed a person.

Semoga kita dapat mengambil contoh dari orang tua ini yang telah berjaya dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya.


Sunday, September 27, 2009

Cadangan Dari Cucu Yang Jauh..

Salam Alaik dan Salam Sejahtera..

Buat pertama kalinya, tangan ini akhirnya berjaya menulis sesuatu dalam blog kongsian ini.. Dari awal teringin benar ingin menulis, tapi takut kalau2 isinya tidak sehabt orang lain..

Bukan apa, sebelum ni, dok asyik lihat anak-anak Al-Muhammadiyy sahaja yang menulis.. Takdak pulak nampak cucu yang menulis.. Jadi,rasa takut juga nak 'melintas depan orang-orang tua' ni... Namun, bila rase diri ini dah agak besar dan matang, Iju memberanikan diri gak untuk menulis disini.. Sebagai perkongsian bersama.. Dan untuk kritikan semua..

Sebagai cucu yang sentiasa jauh, (dilahirkan di luar Kelantan, menetap bersama keluarga di luar Kelantan, sambung belajar luar Kelantan juga, dan kini dapat kerja juga di luar Kelantan, malah mungkin juga membina karier di luar Kelantan, namun berjanji dengan diri untuk menetap kembali ke Kelantan lepas pencen nanti, insya-Allah) iju rase kan ada beberapa pengalaman harian yang Iju tak dapat dari Tok Ayoh Mat.. Jadi, dengan membaca blog ini, Iju rasa agak dekat dengan arwah..

Sebagai langkah bijak dan terkehadapan, iju mencadangkan agar kita semua merealisasikan SEBUAH BUKU AUTOBIOGRAFI MUHAMMAD SIBAWAIH sepanjang kehidupannya. Biar Iju go through satu persatu berkaitan 'bayangan' yang iju nampak dalam idea Iju nih.. Antar objektif buku nih adalah

1-membuka mata anak cucu tentang kehidupan sebenar arwah dari persepsi orang paling rapat dengannya
2-memberi input kepada cucu cicit piut yang jauh tentang diri dan kehidupan arwah
3-sebagai kenangan atau cenderahtai yang harus dimilik setiap ahli al-Muahmmadiyy
4-memberi pengajaran kepada seluruh keluarga, penduduk Kelantan dan pelajar SK Tapang tentang perjuangan pengasas sekolah dan pendidikan di Kelantan
5-sebagai medan kekal anak2 Arwah untuk menulis dan meluahkan perasaan
6-selain sebagai membentang sejarah, kita juga dapat belajar tentang amalan harian arwah sehaingga mampu mendidik 13 anak, hingga melahirkan anak menantu cucu cicit piut yang hebat bukan sahaja di Kelantan malah seluruh dunia.

Buku ni menceritakan tentang kehidupan Arwah Ayah Mat. Dari kecik hingga arwah pergi. Antara objektif ni ialah: Antara bab yang boleh diselitkan adalah seperti berikut: (mesti ada banyak gambar arwah, baru best nak tatap.. kena kumpul dan scan semua gambar arwah untuk tujuan ini.. Mungkina da lagi gambar yg kite semua tak pernah tengok.termasuk gambar ketokohan beliau dan lain2).

Bab 1 : Zaman Kanak-Kanak (0-15 Tahun)
Bab 2: Zaman Remaja (16-25 Tahun)
Bab 3: Alam Perkahwinan dan Rumahtangga
Bab 4: Perjuangan Melayu Kearah Kemerdekaan
Bab 5: Pendidikan Islam di Mata Arwah
Bab 6: Kehidupan Arwah
Bab 7: Damailah Dikau Disana atas Baktimu di Dunia

Atau ada cadangan lain.. Ia sekadar brief idea dari Iju yag harus kita bincangkan kritik lagi..

Apa yang Iju cadangkan lagi, penulisan buku tersebut adalah berkonsep kepada santai dan sempoi. Maksudnya, ia lebih kepada penceritaan pengalaman. Dalam setiap bab, akan ada sub topik..

Contoh nya,
Bab 4: Perjuangan Melayu Kearah Kemerdekaan
Bab 4.1-"UMNO dulu lain, tak macam sekarang" Tulisan ....... Abdul Hadi Muhammad


Bab 5: Pendidikan Islam di Mata Arwah.
Bab 5.1-"Mung Tidak Bodo" tulisan Mohd Dani Muhammad.
Bab 5.2-"Mengaji agama kena terus" tulisan Ahmad Izzuddin Fahmi

Bab 7: Damaikan Dikau diSana
Bab 7.1:"Anggur Lazat Untuk Ayoh" Tulisan Siti Norina Muhammad.
Bab 7.2:"Hujan rahmat di pusara Ayoh" Tulisan Siti Hawa

Lebih kurang macam ni la.. Ini cuma saje2 jer.. Tak semestinya macam ni...

Sementara kesemua 13 anak2 arwah masih lagi sihat, Iju cadangkan kesemua menulis sekurang2nya satu subtopik sebagai penulis jemputan. Dan kita jemput juga sahabat arwah atau sesiapa saja yang mengenali arwah secara dekat untuk menulis tentang arwah..

Setiap sub topik, dalam 3-4 muka surat je dah cukup.. Insya-Allah menjadi dengan kritikan dan candangan dari semua..

Selamat mengkritik dan dibawa ke dalam meeting Yayasan Al-Muhammadiyy.

Wallahua'lam.

Saturday, September 19, 2009

Hari Raya Pertama Tanpa Ayah

Selamat Hari Raya untuk semua anak cucu cicit Muhamad b. Hj Awang.

Tahun ini merupakan kali pertama kita akan berhari raya tanpa seorang tua yang merupakan 'anchor' kepada keluarga besar kita. Walau bagaimanapun, semoga ketiadaan tonggak utama ini makin menjadikan keluarga kita lebih rapat.

Masa kanak-kanak dulu, setiap pagi raya, Ayah akan menunaikan solat hari raya di Tapang. Biasanya Ayah La akan dibawa bersama duduk atas kerusi rotan kecil yang diletakkan di atas palang basikal Ayah. Masa tu tahu seronok saja dan tak kisah betapa Ayah penat kayuh basikal dari rumah di Langgar ke Tapang. Selepas solat raya, Ayah akan pergi ke rumah-rumah orang di Tapang seperti Cikgu Che Ahmad (beleda rumah dia sedap), Che Derahim(?) dan lain-lain (tak berapa ingat dah). Dapat la duit raya beberapa ringgit hasil dari 'kutipan' selepas balik dari Tapang.

Biasanya setiap malam raya, baju dan seluar raya akan di'iron' menggunakan seterika arang oleh Ma. Selepas tu, baju dan seluar ini akan diletakkan di bawah bantal bagi memastikan 'side'nya masih tajam hingga esok hari untuk raya. Biasanya baju raya dijahit sendiri oleh Ma menggunakan kain hadiah hasil peperiksaan penggal di sekolah Majlis atau Maahad Muhammadi. Hanya seluar yang perlu dibeli. Raya kami hanya dengan ketupat, tanpa kuih2 atau kek2 yang berbagai-bagai macam sekarang, tetapi tetap meriah.

Maaf kerana agak nostalgic. Dah tua-tua begini, teringat kembali 'root' kita. Ayah La mungkin balik hari raya ketiga, dan semoga kita semua jumpa di Melawi bagi merapatkan silaturrahmi dan membaca beberapa kalimah tayyibah untuk Ayah dan Mok nanti.

Sebagaimana kata Ebiet G Ade dalam lagunya 'Aku Ingin Pulang', begitulah Ayah La sekarang.


Thursday, September 17, 2009

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




سلام عيدالفطر المبارك هجرة 1430

من العائدين والفائزين

معاف ظاهير دان باطين



Friday, September 4, 2009

Mengenang Ayah Di Bulan Puasa

Mabruk untuk abang-abang dan kakak-kakak yang telah sama-sama mengadakan program tadarrus di bulan Ramadhan ini. Semoga ini juga menjadi salah satu hasil tuaian yang dapat dikutip oleh Ayah dan Mok di alam sana - amalan baik dari anak-anak soleh yang mendoakan mereka.

Mengingat kembali mereka di bulan Ramadhan ini, masih jelas dalam ingatan tentang perkara-perkara yang Ayah selalu lakukan masa bulan Ramadhan. Banyak yang Ayah buat masa bulan puasa kini menjadi satu 'norm' bagi aku.

Biasanya selepas solat Asar, Ayah akan menghabiskan masanya hingga waktu Maghrib dengan membaca alQuran. Amalan tersebut juga menjadi amalan kami, tetapi malangnya sekarang tidak dapat dipraktikkan. Masa antara Asar dengan Maghrib sekarang banyak aku habiskan dalam traffic jam dalam kotaraya ini.

Masa berbuka puasa, Ayah mesti perlukan satu hidangan 'benda manis', samada bubur atau kuih dll. Aku juga terikut-ikut dengan cara begini, dan 'benda manis' adalah satu kemestian bagi aku sekarang masa berbuka puasa. Cuma aku tidak begitu suka makan nasi masa berbuka, dan tak pasti/tak ingat sama ada Ayah makan nasi atau tidak masa berbuka.

Semasa tinggal 'dalam getah' dulu, Ayahlah yang menjadi Imam solat tarawikh setiap malam. Selepas solat, Ayah akan menghabiskan masa dengan mendengar musabaqah alQuran yang masa itu diadakan setiap Ramadhan. Program ini menjadi penyeri kepada bulan puasa, dan siapa yang menjadi johan adalah merupakan topik perbualan kami di sekolah keesokan harinya.

Mungkin banyak lagi perkara yang Ayah lakukan/amalkan yang boleh ditambah oleh abang/kakak dan boleh dikongsi di sini. On my part, tak tahu bila aku boleh amalkan kembali amalan bacaan alQuran di antara Asar dan Maghrib ini. Itu warisan Ayah.


Thursday, September 3, 2009

Fasa Kedua Tadarrus Al-Quran Malam Ramadhan.


Majlis tadarrus al-Quran mengisi malam ramahan itu disertai maklong, makcik dah, maksu mah-pokri, ayah d-cikdah dan z'bidin (imam solat terawih madrasah ust daud). malam khamis kemarin tamat sekali habis. malam ni masuk pusingan kedua. mudah2an para peserta tidah mudah fedap atau alahan mengantuk. gagahkan diri...sabar bagi mendapatkan pahala bonus. ramadhan 1431 nanti belum tentu kita sempat mendapat pahala berganda begini. kami juga boleh mengakrabkan silaturrahim. insya Allah. lepas tadarrus ader laah sikit2 pembasah tekak.... akok, teri mandi, puding, biskut bakal raya, air teh, buah dokong, buah salak dll.

Kami bersyukur kerana dapat memilih masa, menyatakan hasrat dan menonjolkan kebolehan sengoti membaca al-Quran sebab mengaji sekolah agama yang dihantar oleh ayah kita. ketahuilah bahawa kalau nak cari orang jadi imam jemaah, solat jenazah, solat hajat, bertadarrus dan tahlil; sukar benar walau pun di kg tapang dan kg belukar kita!

Doa Setelah Membaca Al Qur’an

Doa Setelah Membaca Al Qur\'an

Terjemah:

Ya Allah rahmatilah kami dengan al Qur’an. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Karuniakanlah kepada kami untuk dapat membacanya sepanjang malamnya dan sepanjang siangnya. Jadikanlah ia perisai kami. Wahai Tuhan sekalian alam.

Aamiin ya Rabbal-'aalamiin.



Sunday, August 30, 2009

Mari Mengisi Laman Memori Ini.


Salam ramadhan kareem. sudah hampir sembilan bulan laman memori ini dibina. laman yang dibina khas bagi mengingati dan mengenang ayah. catatan ingatan dan kenangan ini akan menjadi lebih bermakna kalau kita semua dapat mengisinya. anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit almarhum ayah kita rasa berupaya mencatat di sini. boleh kita pakat-pakat tatap dan ambil iktibar. saling meletak nasihat, kata-kata berhikmah atau foto-foto mengesankan! tapi sayang tidak ramai yang menyambut harapan laman ini.

Mula-mula dulu kita rasa suka jugak sebab banyak yang punya laman blog dan pandai masuk ke alam siber. anak cucu almarhum memang hebat-hebat baik yang berada di dalam ato di luar negara. kita menunggu apa jua cerita-ceriti kenangan bersama almarhum terlukis di sini. sayangnya yang kita nanti itu tidak disambut, kurang sambutan. tiba-tiba kita lebih rancak di ruang 'Geni', facebook ato freindster; boleh chat dan tanya kabar... laman ini tinggal sepi.

Laman ini adalah milik semua kita, buat mengenang almarhum ayah, jasa atau iktibar yang ditinggalkannya selama kita bersama. selain sosok dan wajahnya yang kita amat kenal itu, almarhum Ust Mat Sibawaih memiliki banyak 'sesuatu' yang tertinggal pada ingatan anak-cucu yang kita boleh jadikan bekalan serta kongsikan bersama. ayah tidak meninggalkan harta kepada kita untuk dijadikan kebanggaan dan menambah faedah. namun ada 'pesaka'nya lebih bermanfaat dari itu....Allahummaghfirlahu warhamhu...aamiin.

Kita rasa dan harap selepas ini, laman ini akan lebih hidup dan dihargai. hidup dan dihargai bererti kita ada satu macam desakan untuk meluah apa jua memori dan sebagainya. ada satu macam kasih kepada laman ini untuk dimesrai dan dijadikan rujukan semasa bcrsepi apatah lagi kerana kita berjauhan untuk sering membuka borak anak beranak.

friends





Friday, August 21, 2009

merancang tadarrus al-quran


ramadhan 1430 datang.
rabu lepas 28 syaaban 1430 kita berada di rumah kakcik mah @ Azimah /Pokri. kita bertemu dan berborak terus merancang mahu adakan majlis tadarrus al-Quran bermula malam esok. malam ahad selepas solat tarawih...kita atur nawaitu tadarrus bagai satu ketulusan sambil mengharapkan pahalanya buat kedua ibubapa kita. semoga mereka beroleh rahmat dan maghfirah Allah.


Monday, August 17, 2009

Ramadhan Datang: Saabiqu ilal-maghfirah wal-jannah.


Ramadhan Datang Lagi: Marhaban bik...


Ramadhan Zero Defect

ALHAMDULILLAH...bulan ramadhan mulia datang lagi. ini ramadhan lain, bukan ramadhan dulu-dulu. dah banyak berlalu. yang terakhirnya ialah ramadhan 1429 tahun lalu. ramadhan al-mubarak, bulan nuzululqur'an dan bulan yang padanya malam qadar yang lebih baik dari 1000 bulan. Allah gandakan anugerah pahala dan kebajikan kepada kita sempena ramadhan kareem.

Dia yang Maha Kaya Maha Terpuji menjanjikan sejahtera, kurnia syurga dan perlepasan dari siksa neraka. gandakan solat dan doa. perbanyakkan bacaan al-qura'an dan zikir. permudahkan i'tikaf dan qiyam. ramadhan awalnya rahmat Allah, pertengahannya maghfirah dari Allah dan akhirnya lepaskan dari neraka.

almarhum ayah kita kembali ke rahmatullah pada petang 3 muharram 1430 bersamaan 31 disember 2008. inilah ramadhan pertama kita tidak bersama almarhum. teringat benar. ayah waktu sihatnya banyak membaca al-qur'an. bersedekah. bersolat tarawih di balaisah pakmat saari, kemudiannya hanya di rumah. barangkali banyak lagi kenangan yang masih berlegar jinak di ingatan orang-orang yang serumah dengannya spt ma, mokdek, ayah yi dan cecucu ayah yang makin membesar bersamanya. ma selalu buat nasi kerabu tumis dan sambal... tahun ni lagu mana? kalau ma tidak ke KL sesekali elok juga orang-orang KL balik berpuasa dengan ma di KB kan? bergilir.

kebahagiaan ialah apabila kita dapat melunaskan kewajiban kita serta saling menunaikan tanggungjawab perasaan kita dan orang terdekat dengan membelanjakan pendapatan yang dikurnia Allah.

mari kita sama-sama bersyukur kepada Allah. alhamdulillah dapat menghirup udara ramadhan tahun ini. mohon rahmat, keampunan dan lepasan dari neraka Allah. ALLAHUMMAGHFIRLI WA LI WALIDAYYA WARHAM HUMA KAMA RABBAYANI SOGHIRA... Aamiin.









Sunday, August 2, 2009

PERTAMA KALI KENAL / NAIK KERETAPI KE KL


Menilik catatan ayah La tentang keretapi, ayah D cukup teruja dan kembali jadi nostalgia. Sebagaimana pernah almarhum ayah kata bahawa ayah D lah orang mula-mula 'buka panggung' dapat belajar overstate Kelantan. Ayah D, Mokhtar Bukit Marak (kini Pengetua SMK Kubang Kerian2), Mohd Hassan Pkn Chepa (kini HA di Hospital Kuantan) dan Baharuddin Abdullah (bekas CEO Tenaga Nasional KL) sama-sama dari Maahad Muhammadi dapat ke KIK: kami bertolak dari Wakaf Baru dengan keretapi!

Ayah D lupa bagaimana boleh ke Wakaf Baru tu? Dengan kereta atau motor? Tumpang kereta atau motor siapa? Semuanya ayah yang urus. Satu yang bagusnya, ibubapa kami dapat berkenalan satu sama lain. Setelah bersalaman dengan ibubapa masing-masing (emak tak gi) keretapi bergerak jam 10.20 pagi kalau tak silap. Selamat tinggal semua aku akan merantau menuntut ilmu....

Keretapi tahun 1970an katakan... tingkap kayu, kipas usang berpusing di atas kepala tak berasa pun, kerusi kusyennya, geraknya terhingguk-hingguk dan lain-lain fenomena bagai tayangan filem lama kat TV..hitam putih! Naik saja keretapi, ayah D ingat Baharudin dan Mohd Hassan terus berkecek 'luar', ayah D dan Mokhtar mentertawakan mereka. Mohd Hassan solat atas kusyen panjang dan badannya bergerak menurut rentak keretapi. Lucu.

Dari satu station ke station. Dapat kenal tempat-tempat baru tapi dari atas keretapi lah. Melalui gertak dan masuk bukit korek / terowong. Gua pelik di Gua Musang, peniaga-peniaga menjual limau2, jabek2 (zabib / anggur), air batu2 dan nasi pun ada. Masuk Pahang senja di Kuala Lipis. Sudah hampir 7 jam! Tidur jaga-tidur jaga. Pukul 2-3 pagi tiba Gemas, keretapi tukar koc... silap duduk tanpa sedar akan ke JB lah awak.

Tiba Seremban pagi cerah, Kajang dan tiba di Station Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur lebih kurang 7-8 pagi. Waaah...badan berbau tengik dan hangit asap keretapi. KL Here we are!!! Sang kambing masuk ibukota. Pening lalat mencari platform : 'ding.. dong.." Attention please, all the passengers from Tumpat and other places from the east bla...bla..bla...ayam darat berasa hilir habis! Kami nak ke Kolej Islam naik gapa pulak? Kena naik tren pendek dengan tiket yang sama lagi. Tren KL-Klang laju weh... angin tajam menerjah muka bera tak mandi sejak pagi kemarin... padan muka. Lepas tu... Risikonya deru keretapi dan bunyi loceng / siren keretapi akan terngiang-ngiang di telinga sepanjang hari...

Itu sejarah ayah D gori naik keretapi mel ke 'luar negeri' meninggalkan ayah, mak, adik-beradik dan kawan-kawan rapat..penuh semangat untuk belajar...Sebelum meninggalkan mak, rasa-rasa ada juga pesan mak macam lagu Halim Yazid nih:

Friday, July 24, 2009

Keretapi


Kenapa keretapi?

Keretapi adalah begitu sinonim dengan Ayoh, dan mungkin begitu sinonim dengan kejayaan anak-anak Ayoh. Kami mula mengenali keretapi setelah Abe D mula belajar di Kolej Islam Klang. Sebelum itu kami tidaklah berpeluang untuk pergi ke Wakaf Baru yang agak jauh dari Kota Bharu untuk melihat keretapi. Semasa sekolah dulu, route biasa kami hanyalah dari rumah ke sekolah, Carnegie atau tepi sungai dan adalah mustahil untuk venture ke Wakaf Baru yang begitu jauh.

Antara 'hari-hari besar' kami ialah bila menghantar atau mengambil abang dan kakak di stesen keretapi di Wakaf Baru semasa cuti penggal sekolah. Biasanya pada hari itu Ma akan buat mi rebus bagi meraikan 'hari besar' ini. Ayoh akan menyewa kereta orang untuk menghantar/mengambil abang dan kakak, dan kami semua akan disumbat dalam kereta sewa macam sardin dari Kota Bharu ke Wakaf Baru. Antara kereta sewa yang kami masih ingat ialah kereta sewa Mat Nor Budu, yang biasanya digunakan untuk mengangkut budu oleh tuannya. Berada dalam kereta tersebut hampir sejam agak melemaskan, tapi disebabkan kami begitu 'look forward' untuk tengok keretapi dan ambil abang/kakak, 'kesengsaraan' itu tidaklah terasa sangat.

Melihat kembali efforts Ayoh ini, mungkin Ayoh ingin menanam semangat pada kami untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengikut jejak abang/kakak ke KIK. Kami akan melihat dengan penuh kagum abang2/kakak2 KIK yang turun dari keretapi selepas perjalanan jauh dari Klang. Nampaknya teknik Ayoh ini berjaya, kerana pada masa itu telah tertanam dalam benak kami bahawa KIK adalah 'natural destination' kami selepas Maahad Muhammadi.

Ayoh selalu sebut yang Abe D telah 'buka bong' untuk belajar di KIK kepada semua adik-adiknya. Dan dia juga berhak menyebut dengan bangga yang tidak ada orang lain yang anak2 seramai anak2nya belajar di KIK.


Wednesday, July 1, 2009

Meletak Batu Nesan Di Maqam Ayah


Petang Selasa 7 Rejab1430H bersamaan 30 Jun 2009M- Dua biji batu separa bulat dari Tanjung Malim itu akan diletak di perkuburan ayah. Aku (anak ayah), Dah (menantu), Mutia Sabihah,Ahmad Farhan dan Abd HakimAdli (cucu ayah) serta Afeeq Zikry (cicit ayah) ke perkuburan Kg Belukar membawa cangkul kecil menziarah kubur dan meletak batu nesan.

Tiba di perkuburan, kami memberi salam kepada ahli kubur dan membaca al-fatihah; kami terus menuju kubur ayah. Tanpa melarik apa-apa tanda atau menulis nama ayah pada batu 2 biji itu, kami menggali sedikit tanah dan meletak batu-batu itu. Kami bersyukur kerana dapat menunaikan pesanan beliau agar hanya meletak batu nesan tanpa membina / menempah belindan khas.

Setelah membersih kawasan dengan membuang rumputan liar di sekitar, kami sama-sama berdoa agar ayah bonda diampuni dan dikasihani Allah sebegaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil. Allaahummaghfirlahum warhamhum.

Tuesday, June 30, 2009

Batu Nesan Dari Tanjung Malim


Kami bertolak ke Tanjung Malim selepas 'asar khamis 25 Jun 2009 untuk menghantar Abd Hafiz Hilmi akan lapor diri masuk UPSI 28 Jun nanti. Tiba di rumah Abg Long di Proton City hampir 12.00 tengah malam. Abd Hafiz Hilmi akan mendapat ilmu / latihan menjadi guru. Kami berbangga dapat melunasi cita-cita kami dan ayah agar memilih 'khairul amal..al mu'allim' itu.

Teringat pesan ayah agar kuburnya hanya bernesankan batu bukan 'binaan' atau belindan', aku meminta Abg Long ke mana-mana jeram atau air terjun berdekatan untuk mendapatkan batu bukit / nesan itu. Petang hari jumaat itu aku diajak Abg Long ke jeram Teratak Riverview pinggir Tanjung Malim. Memang indah jeram sunti itu.

Air jernih mengalir tenang menyusup lurah. Aku hanya berdiri di atas jambatan besi; Abg Long dan Hilmi turun ke anak sungai memilih batu-batu yang sesuai buat batu nesan. Mereka memilih tujuh batu separa bulat yang sesuai, di bawa ke kereta. Usaha kami berhasil dan puas hati. Empat biji batu itu akan di bawa balik ke Kota Bharu dan 2 darinya akan bermastautin menjadi nesan kubur ayah di Perkuburan Kg Belukar.

Wednesday, June 24, 2009

SMS Dari Mokdik @ CikNor dan Siti Farhana

Salam. Ayah D ada terima SMS dari Mokdik @ CikNor bunyinya lagu ni:

" Dah berhari2 kerinduan kepada ayah menusuk jiwa. Hari Bapa datang lagi . Kali ini tanpa ayah yang kita cinta. Semoga ayah tenang di persemadiannya atas ingatan dan doa kita serta legasi yang telah dia tinggalkan ".

Dua tiga hari lagi akan genaplah setahun setengah ayah kembali ke rahmatullah. Kita yang tinggal akan meneruskan hidup seizin Allah. Kita akan meneruskan rutin harian dengan tugas dan tanggungjawab selaku bapa, ibu, adik beradik dan jawatan-jawatan secara langsung atau tidak. Mahu tidak mahu kita adalah hamba Allah yang punya tugas perhambaan yang difardhukan.

Kita bersyukur kerana dibimbing ayah secara langsung atau tidak menjadi hamba-hamba Allah yang soleh, insyAllah. Anak-anak yang mendoakan keampunan dan kerahmatan buat kedua bubapa. Kita juga mahu menjadi orang yang amalkan sodaqah jariah dan pemberi ilmu yang bermanfaat kepada generasi manusia sebagaimana murad hadith Nabi s.a.w; ayah kita sebagai ikon dalam merealisasikannya. Semoga jalan yang diterokai ayah itu sambung bersambung oleh anak cucunya.

Ayah D pagi ini menerima SMS dari Siti Farhana di Kota Merudu Sabah pula mengucapkan 'selamat hari jadi' kepada ayahnya. Catat beliau:

assalamualaikum my luvly dad...didoakan semoga ayah lebih sihat n bahagia selalu di bawah rahmat Allah. Alhamdulillah atas didikan n iringan doa ayah dan mak...iming pula berjaya melangkah ke U. Semoga kejayaan n kasih sayang kami semua membahagiakan kalian. Terima kasih atas segalanya. Kirim salam kat semua di rumah.

Barangkali ayah kita dulu selalu mendoakan anak-anaknya @ kita agar menjadi manusia baik, hamba Allah yang soleh dan anak yang mengenang budi. Sudah tentu kita berbangga punya ayah Ust Mat Sibaweh yang seperti kita arifi sosok peribadinya, maka kita juga mahu anak-anak kita arif tentang ibubapanya. Dua SMS di atas punya signifikannya tersendiri; lambang hubungan batini anak dan ayahnya.

Friday, May 15, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah: Orang Mengantuk Kena Penampar!


6. Rumah Sewa Ayah Di Kubang Pasu 2:


Aku tak ingat berapa lamakah kami tinggal di rumah kedai yang terletak di Jalan Post Office Lama @ 'postopeh lama' dan berhampiran Pasar Kubang Pasu tu. Kata Kak Dah 2 tahun lebih.


Aku juga tidak berapa ingat waktu itu aku belajar dalam darjah berapa di Sekolah 'Majlis' atau Maahad Muhammadi (Melayu) Lelaki. (Aku tamat Darjah 6 Sekolah Majlis ialah tahun 1965).


Kak Dah @ Makcik Dah memang bersekolah di Madrasah Naim Lilbanat Kota Bharu yang waktu itu sudah pun terletak di lokasi sekarang. Sebelumnya sekolah itu menumpang bangunan kayu berdekatan Cabang 4 BATA yang dikenali juga dengan sekolah Pak Nik Ya. Sudah tentu Kak Dah berulang jauh ke Kg Langgar (sekarang Jalan Sultan Yahaya Putera) dengan bas NETS ( North Eastern Transport Services @ SKMK sekarang).


Ayah masih berkedai runcit di premis Jalan 'Postopeh' Lama. Ayah juga tetap mengusaha jeruk kelubi. Tempayan jeruk masih 'bergelumang' di luar rumah. Dengan pendapatan 'seberapa' yang aku tidak tahu itulah punca rezeki ayah menjalani kehidupan bersama keluarga. Aku rasa waktu itu Umi Long dan ayah Wi belum lagi bersekolah, masih kecil.


Aku yang bersekolah di Sekolah Majlis sudah tentu berulang-alik berjalan kaki ke sekolah. Tetapi hingga kini tidak tergambar semula dalam kepala, lagu mana aku ke sekolah, melalui jalan dan lorong mana ke sekolah yang terletak di Jalan Merbau itu. Siapa pula kawan2 berjalan kaki bersama juga ku lupa.


Ku masih ingat Kak Dah juga ambil upah 'menconteng batik' atau proses menerap lilin pada kain batik untuk menanggung persekolahannya. Tak silapku KakDah bersama kawan dan jiran diberi upah 15 hingga 20 sen sehelai kain batik yang dicat lilin atau diwarnakan menurut arahan taukeh batik. Jadi kalau siap 15-20 helai sehari dapatlah habuan RM4/RM5 sehari! Banyak dah tu.


Satu 'kenangan manis' yang tidak dapat kulupakan semasa di rumah Kubang Pasu ni ialah bila aku makan penampar ayah! Salah aku juga sebenarnya. Sudah tentu. Rutinnya aku akan mengaji al-Quran ialah selepas sembahyang maghrib. Pada 'senja bersejarah' itu barangkali kerana sangat letih bermain (?) atau kerana aku tidak mandi; aku mengaji Quran dalam keadaan tersengguk-sengguk… mengantuk!. Sedang syok melayan ngantuk, tiba-tiba terasa pipiku dilempang @ ditampar dua kali. Terkejut. Aku terdengar ayah kata " Gi mandi!" Aku ingat aku menangis dan menutup mashaf terus pergi mandi. Kak Dah tanya 'bakpa?'… Aku kata kena penampar ayah sebab ngaji..ngatuk. Kuingat Kak Dah kata. "padan dah…"


Siap mandi terdengar ayah kata, "Mari ngaji!" Aku ingatkan time ngaji dah sudah, tapi tidaaaak. Kena ngaji pulak dan ayah jadi jurulatihnya. Kenangan. Ayah yang prihatin bab2 ngaji Quran ni hinggalah dia ke rahmatullah. Itulah kali pertama dan terakhir aku makan penampar. Namun aku hingga kini 'lekat' mesti ngaji al-Quran 5-7 sofhah selepas solat maghrib sambil menunggu solat isya'…atau bergantung kepada suasana. Semoga pahala bacaan kitab suci yang kami amalkan berhadiah juga buat ayah tercinta. READ AL-QURAN!







Sunday, April 26, 2009

Alhamdulillah, salo"MA" selamat!

Alhamdulillah semalam ayah Wi dan Umi Long menemani salo"MA" menjalani pembedahan mata kiri beliau di Klinik Pakar Mata Mutiara di Kota Bharu.

Inilah gambar-gambar terkini salo"MA" setelah menjalani pembedahan tersebut. Mengikut Dr Hasnan yang menjalankan pembedahan itu, mata beliau dijangka pulih sepenuhnya dalam masa seminggu. Tidaklah dapat dipastikan samada beliau akan berterusan dengan stail salo"MA" tersebut setelah pulih nanti.

salo"MA" bersama trainee nurse Hanan dan staff nurse Umi Long
Posing menarik dari salo"MA"
Staff nurse tumpang glamour bersama salo"MA"
Staff nurse bersama salo"MA" dan pemandu ambulan Ayah Wi


Mudah-mudahan Allah memberikan kesihatan yang berpanjangan untuk salo"MA".

Amin.

-Ayah Wi dari KB

Tuesday, April 21, 2009

Mengenang Ayah Selepas 100 Hari Pemergiannya


Gelap cerah-gelap cerah kini dah 114 hari ayah kembali ke rahmatullah meninggalkan kita. Sebagai anak-anaknya kita tetap mengingati sosoknya yang lama bersama kita..sejak kita kenal dan tahu tentang alam keliling. Zaman kanak2, budak2, remaja dan alam dewasa kita bergaul dengannya. Kita tahu wajah manis dan kernyeh matanya.

Percaya atau tidak, ayah tidak banyak menasihati anak2nya. Barangkali pandangan matanya sudah memberi makna kepada diri anak2. Barangkali dia faham, yang anak2nya tidak sulit dan menyulitkan dirinya. Kadang2 ada juga dia menceritakan pengalamannya mengaji/belajar di pondok, pengalaman menceburi politik, menceritakan kelebihan seseorang yang dikenalinya termasuk pemimpin negara serta memperihalkan bidang2 ilmu yang dituntutnya.

Memang ayah banyak bercakap mengenai ilmu yang diminatinya. Ayah sangat meminati bidang feqah, nahu Arab dan tajwid al-Quran. Banyak buku / kitab ketiga bidang tersebut di dalam almari kutub khanahnya. Ayah juga suka menceritakan jasa dan sumbangannya kepada masyarakat baik tenaga mengajarnya atau sumbangan dermanya. Ayah sangat2 mengharapkan anak2 cucunya dapat meniru dirinya yang murah hati memberi sumbangan dan bakti kepada masyarakat, anak2 yatim, orang miskin dan bantuan pembinaan masjid.

Ayah selalu mengisahkan tentang sumbangan dan jasanya itu agar anak2 membuat amalan2 baik sepertinya. Semoga semua sumbangan dan jasa baik ayah termasuk 'mengajar' ilmu agama yang 'dimanfaatkan' berpuluh2 tahun itu diterima Allah sebagai amalan soleh dan sadaqah jariah; semoga pula menjadi ikutan anak2 cucu tanpa jemu berbuat amalan baik seperti yang dibuat ayah. Ayah kita tidak suka membazir, tidak pernah bakhil tidak pernah kedekut dalam semua hal...dia telah berbuat seadanya menurut kemampuannya dan dia pergi tanpa meninggal harta melainkan anak2 yang berpendidikan Islam, tahu budi Allah, bersyukur dan insya'Allah sentiasa mahu mendoakan keampunan/rahmat buat ayah tercinta.

Ayah dalam pergi mari dan duduk bangunnya tidak banyak bercakap perkara yang tidak penting dengan anak2. Sesekali ada juga bahasa gurauan dan sindiran yang melucukan. Itulah ayah kita yang sering juga memberitahu amalan2nya membaca ayat2 al-Quran, zikir dan selawat ke atas Nabi s.a.w sambil memberitahu kaifiat dan fadhilat amalan tersebut selaku hamba yang bakal kembali kepada Allah.

Insya'Allah telah kami sepakati akan mengadakan majlis baca al-Quran/tahlil di rumah ayah pada malam jumaat 28 Rabiul-akhir 1430 = 24 April 2009 selepas solat isya' seperti biasa. Anak2 cucu diminta hadir berkumpul di samping pertemuan silaturrahim di sana. Kita bertemu di sana nanti. Insya'Allah.

-foto adik kecil di bawah ni adalah untuk B, cucu ayah yang sangat disayanginya.

-



Thursday, April 16, 2009

VIDEO AYAH DALAM KENANGAN

Kami masukkan video yang SEMPAT Drakamkan sewaktu bersama ayah. Banyak lagi yang akan kami paparkan di sini, mungkin dapat meredakan sEDikit rindu kita kepada ayah. Kami yang saban hari bersama ayah amat terasa kehilangan suara ayah - ketawa ayah, usikan ayah kepada anak-anak terutama Bi dan Adik, segala hal mengenai ayah, yang begitu sebati dalam jiwa dan sanubari kami.


GAMBAR-GAMBAR DI PUSARA AYAH






Ini gambar-gambar yang diambil baru ni. Pagi ni kami ke pusara ayah lagi. Minggu lepas tak pergi, Bi marah2 dan berleter...katanya "yang dok jauh nak gi, tapi yang dok dekat tak nak gi..."terkedu kami dengan leteran itu. Bukan tak teringatkan ayah, tapi tersangat kepenatan dari Miri-KUCHING-KLIA-KB sampai lewat malam Jumaat..Rasanya dah kena tempah batu nisan. Kami akan survey mana yang sesuai macam yang dibincang baru ni, sebagaimana pesan ayah kepada kita.

Sunday, April 12, 2009

Catatan Pada Kulit Kitab Tinggalan Ayah.

Pada lembaran kulit kitab ayah bercatat 'tahta yadi Haji Muhammad bin Haji Awang Guchil' bernama 'khaziinatul-asraar Jalilatul-Azkar' oleh Al-Ustaz As-Sayyid Muhammad Haqi Al-Nazili yang ada pada ayah D. Ayah memberi kepadaku supaya membacanya. Pada lembaran kulit kitab itu tercatat beberapa hadis. bagi ayah mebi dia jadikan ingatan buat dirinya, untuk sebut dalam ngajar beliau. mari kita ambil ingatan dan buat amalan berasaskan pengertian hadis2 itu:

1. "Celaka bagi anak2 Adam yang bapa2 mereka tidak mengajar al-Quran, perkara2 adab dan fardhu, maka menjadikan mereka itu jahil dan aku tidak demikian!".
2. " Sesungguhnya sesiapa yang di dadanya tidak terdapat (ayat2) al-Quran serupalah rumah yang runtuh/kosong".
3. "Tidak ada dosa yang lebih besar dari menjahilkan keluarganya".

Catatan hukum fiqh:
Masalah imam sembahyang duduk, khilaf ulama:
1. Imam Ahmad ibn Hanbal dan Auza'ii- mesti ma'mum duduk.
2. Imam Malik tak boleh ikut (imam) langsung.
3. Imam Syafi'i dan Abu Hanifah -tidak harus bagi orang yang kuasa sembahyang berdiri bahawa ia ikut imam duduk melainkan berdiri jua...(rujukan: Bahrul-Mazi juz 3 sofhah 64)

Masalah baca Qunut:
Hadis (mafhumnya): " Sesungguhnya Nabi s.a.w (berdoa) qunut dalam solat subuh dan maghrib"~~hasan sohih.

-Imam Syafi'i: Sunat qunut subuh lepas ruku'.
-Imam Malik sunat qunut subh sebelum ruku'.
-Imam Abu Hanifah dan Ahmad ibn Hanbal tidak sunat qunut...

(ada lagi...........)

Thursday, April 9, 2009

Genap 100 hari ayah pergi

Malam tadi, genaplah 100 hari ayah tercinta meninggalkan kita semua. Rasanya baru semalam berbual dengan ayah. Mendengar ayah bercerita..macam2. Kisah ayah di rumah sewa, berbasikal jual kelubi dan pagi-pagi ke kedai-kedai kopi letak kuih bengkang yang ma buat. Dulu masa kecik2, paling seronok bila ayah jemput orang 'minum teh' kalau ada anak-anak ayah yang dapat melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam atau ke U..yang sebenarnya bertujuan mendapatkan sedikit belanja menghantar anak-anak ke sana. Ma akan masak 'mee kuah' dalam periuk besar. Melihatkan kejayaan anak-anak ayah, ia sebenarnya secara tidak langsung telah menjadikan orang lain juga turut menghantar anak-anak ke sekolah agama. Ramailah jiran-jiran yang tidak pernah berminat dengan sekolah agama mula menghantar anak-anak ke Maahad dan Naim. Dan ramailah yang berjaya masuk U, dapat kerja besar. Paling tidak pun, mereka 'menjadi orang', 'tidak kucar' (istilah yang ayah selalu gunakan)walau pun mereka tidak menjejak kaki ke menara gading. Besarnya jasa ayah, kepada kita semua dan kepada orang lain juga. KAMI RINDUKAN SYARAHAN-SYARAHAN AYAH.

Sunday, March 29, 2009

Ayah Amat Prihatin Dengan Menuntut Ilmu: Kita Bagaimana?


Ayah pergi meninggalkan kita bersama 'harta' yang agak banyak. harta yang bukan senilai RM atau emas berlian. harta ayah adalah kitab2 dan buku2. susunan kitab2 'tahta yadi muhammad awwam' miliknya rapi dalam almari. dilarang pindah keluar dari rak almari kutub khanah*nya itu; tapi boleh untuk tatap. tapi sayang anak2 cucu jarang yang sentuh mengambilnya untuk menyantap ilmu2 tinggalan beliau pada kitab2 tersebut. kita gagal meneroka kutub arab-islam, alam ulum milik ayah itu.

Kadang2 teringat dan rasa kesal timbul terutama diri sendiri ini, bahawa ilmu yang sangat2 diminati ayah itu tidak diperpanjangkan oleh kita anak cucunya. 'sibawaih'nya dan kealimannya terbatas. anak2 cucu2 memilih jalan keilmuan lain, baru dan ikut menyusur zaman. kutub khanah ayah semakin lusuh dimakan waktu. ilmu yang banyak di dalamnya tinggal sepi. kita tidak lagi merujuk kutub tersebut yang lebih ori itu kini kerana terdapat bahan rujukan terkini yang banyak di pasaran di samping kita memang miskin lughah 'arabiah.

* kutub = bah. Arab- jamak/plural bagi 'kitab'
khanah = bah Farsi- tempat simpan sesuatu/pustaka.

.... lagi petikan dari catatan ayah pada kulit kitabnya yang ada dlm simpananku:

- hadis Nabi s.a.w -" Sesiapa yang mengajar al-Quran kepada anaknya annti Allah Ta'ala akan mengurniakan rantai leher dari cahaya yang akan menakjubkan orang2 terdahulu dan terkemudian".

- "Setiap penyakit ada ubatnya, ubat bagi si jahil ialah ilmu"


- " Bukanlah IMAN itu dengan hanya bercita2 dan bukan juga dengan perhiasan semata; tetapi IMAN ialah suatu yang terbentuk di dalam hati dan dibenarkan /dinyatakan pada amalan".


- Orang yang awal menulis khat Arab ialah Ya'rib bin Qahtan beliau berkebolehan menutur bahasa Arab dan Suryani dengan baik.


- Orang yang awal meletakkan nahu Arab dan mengadakan 'iirab pada a-Quran ialah Abul Aswad ad-Dualiy at-Tabi'i al-Basori. Diceritakan bahawa beliau telah mendengar seseorang menyebut bacaan yang kurang tepat dari surah at-Taubah..... (.
.ada lagi..)

Friday, March 27, 2009

Ayah dan Anak-Anaknya

Di sebalik wajahnya yang serius, Ayah suka menggembirakan anak-anaknya dengan caranya yang tersendiri. Antara waktu yang kami tunggu-tunggu ialah bila Ayah balik dari pasar. Mesti ada habuan untuk anak-anaknya, seperti jagung rebus, jagung manis, ubi dan sebagainya. Satu lagi ialah bila beliau balik dari mengajar di surau-surau. Kalau ada lebihan makanan di surau, beliau akan bawa balik untuk anak-anaknya. Kami begitu 'look forward' masa Ayah balik dengan membawa buah tangannya.

Dalam kesempitan hidup kami, beliau akan cuba memberikan apa yang termampu untuk kami. Setiap akhir penggal, kami akan dapat keputusan peperiksaan dan sebagaimana biasa untuk ibnu Muhammad, kami adalah top achievers sama ada di sekolah Majlis ataupun Maahad Muhammadi. Biasanya hadiah yang kami dapat ialah beberapa sen untuk belanja di Kota Bharu. Cukuplah untuk makan cendol pulut tapai kot.

Masih ingat lagi selepas dapat keputusan akhir penggal form 2, ayah telah mencarikan jam sebagai hadiah. Ayah telah beli jam dari tempat baiki jam depan Klinik Perdana sekarang dengan harga RM5. Mungkin jam yang tuannya dah tak nak. Jam itulah yang aku bawa ke Kolej Islam masa form 4 dan form 5. Jam itu perlu di pusing tombol/skrunya setiap pagi bagi menghidupkannya.

I still remember one of my friends in KIK used to make a mockery of the wristwatch, which to him was very out-of-date. I didn't give a damn. His brain capacity was not even half of mine, and he was never close to me in the ranking of our class. And the wristwatch was a present from my beloved father, which I treasured very much.

I think that is the reason why now I have a 'taste' for expensive watch, which I could not afford to have when I was at young age. And when I look at the advertisements for watches in newspapers, I would take time to appreciate the beauty of the watches.

Wallahu a'lam. Apa pun, terima kasih Ayah. Apa yang Ayah letakkan di dalam kepala kami adalah jauh lebih bernilai dari apa yang Ayah letakkan di tangan kami atau di leher anak-anak perempuan ayah.

Thursday, March 26, 2009

Tertinggal post: Sempena Bule Mo'lo', Tahlil dan Roti Jala.


...posting yang lewat dipublishkan, dok dalam draft...nah ini dia moga jadi kenangan jugak:

Hari ini Jumaat 29 Rabiulawal 1430...hari terakhir Bulan Maulid @ bule mo'lo', bulan kelahiran junjungan Rasulullah s.a.w lebih kurang 1480 tahun silam. Kelahiran Baginda yang membawa sinar memisahkan bainal haq walbatil.

Gelap cerah, gelap cerah cepat sungguh rasanya waktu berjalan. Jumaat minggu lepas 23 R/awal 1430 = 20 Mac 2009. Ayah D adakan sikit jamuan breakfast roti jala, roti bulat manis cecah gulai kambing. Sehari sebelum tu ada majlis pernikahan dan walimatul-urus Pak Din bin Hj Che Ab Rahim JPJ @ saudara kita 'Izuddin bin Umi Long di Telipot, area belakang SMK Zainab 1 Kota Bharu. Sekolah tu AyahD ngajar dekat 11 tahun (1988-1989). Majlis Pak Din tu AyahD tak leh gi. Nak wat guano.

Majlis jamuan roti jala cecah gulai kambing tu berlangsung dengan sukacita dan meriah. Alhamdulillah.... Sengaja kami adakan majlis itu ada 'sempena'nya. Sempena Mutia dapat bertugas di Kelantan, bertukar dari SK Air Lanas Jeli ke SK Seri Kembangan Pasir Mas (dia boleh berulang-alik), di buat sempena bulan Maulid, adakan tahlil buat ayah dan mak serta kebetulan adik beradik ramai ada di KB ini (belum bertolak ke KL dan JB).

Bertemu sekali2 alangkah sukacitanya walau tak cukup korum adik beradik. Ayah D cukup gembira bila ma datang, ayah Ni sekeluarga dan Tik sekeluarga pun ada. Syukur benar majlis itu amat bermanfaat wajar diteruskan seadanya secara bergilir buat pertemuan mesra anak buah. Semoga kita semua diampuni serta di rahmati Allah baik yang masih hidup atau pun yang sudah kembali ke rahmatulla. Anak2 cucu rajinlah membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala buat ayah dan mak. Wassalam.

Sunday, March 22, 2009

Terkenang Ayah: Bila Pak Din Jadi Raja, Majdi Masuk Wad.


Sebentar tadi jam 10.00 pagi, Ayah D telefon ma bertanya tentang Majdi yang dikuarantin di HRPZ2 Kota Bharu sejak 3 hari lepas, di Wad Panglima kerana serangan demam denggi. Ma kata Majdi dah dipindahkan ke Wad 10. Baguslah kalau dah ke wad tersebut, senang dilawati. Berehat betul2 di wad yang agak berkelas dan selesa.

Bercakap dengan umi Long selepas tu dia cerita tentang rawatan di wad sambil beritahu yang berjasa menunggu di Majdi di wad ialah Fathi dan Fatih. Begitulah keprihatinan, silaturrahim dan kemesraan keluarga kita. Antara mu'min dengan seorang mu'min ibarat satu badan, bila satu anggota terasa sakit maka anggota lain ikut sakit sama...mafhum sabda Nabi s.a.w. Saling berasa bertanggungjawab. Alhamduillah.

Mek @ umi Long juga beritahu selain rawatan spital, rawatan tradisional juga di'try-test' kepada Majdi... makan sup ketam nipah. Sdr2 dari Melawi bawa ketam untuk tujuan itu, mujur Majdi boleh makan...sedap. InsyaAllah akan cepat sembuh. Katanya dah pedih perut dok minum 100 Plus...sabar2lah. Dua adik yang juga demam di rumah makin sihat dan ok. Lepas ni kena makan nasi banyak2 supaya lebih sihat dan kuat. Kita doakan semoga kita semua diberi afiat dan sejahtera oleh Allah Taala.

Ayah D sempat memberitah umi Long, ayah D dah setahun lebih dah berada di rumah sejak discaj wad 7.3.2008... hari ini dah 23.3.2008. Alhamdulillahi hamdan kathira.... Ketika di Wad Teratai (adik pada wad ICU) dulu, bila melihat 2-3 hari sekali ada saja pesakit yang meninggal dunia; mereka adalah 'jiran' katil bersebelahan, terasa benar2 akan tiba jua 'giliranku', akan pergi seperti mereka ke rahmatullah. Terasa benar tak akan dapat bertemu ayah mat yang juga terlantar di rumah, terasa juga tak akan dapat melihat rumah sendiri dan berjumpa anak2 serta saudara mara.

Umi Long pula menyebut bahawa ayah mahu 'pergi' dahulu daripada anaknya / 'Abang D. Barangkali kerana doa dan harapannya, ayah D sempat beberapa kali mengheret diri yang masih uzur ini menziarahi ayah sehinggalah beliau wafat hari Rabu 3 Muharram 1430 bersamaan 31.12.2008. Almarhum pergi bersama tahun berlalu. Semua anak2nya yang 13 orang itu ada di samping beliau sambil mentalqin kalimatan tayyibah itu. Kita bersyukur.

Ayah D amat bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT bertemu dengan ayah setelah kami terpisah pandangan setengah tahun lebih. Bersyukur juga kerana kita anak cucunya dapat pula sama2 membaca al-Quran setiap malam Jumaat, selama tujuh malam. Bersyukur kerana dapat menziarahi kuburannya sambil mendoakan kerahmatan Allah buat ayah tercinta.

Buat umi Long dan Pakcik Rahim kita harap dugaan dan 'tazkirah' dari Allah itu hadapilah dengan penuh kesabaran. Nilaian harta menjadi amat murah kalau dibandingkan dengan nilai nyawa dan kesabaran. Sifat redha kita pula menjadi kita lebih taqarrub ilallah. Sama2 kita ingat: bahawa bila kita sakit, barulah kita tahu betapa mahalnya harga sihat. InsyaAllah.

Buat Majdi yang menanggung dugaan fisikal, ingatlah sebelum kita dewasa banyak lagi dugaan yang akan kita hadapi. mahunya kita ingat Allah, istiqamah dan tawakkal. Ok! Lepas ni terus belajar dan bersungguh hingga berjaya.
........

Buat Pak Din! Tahniah dan welcome to our world.. inna khalaqnaakum azwaaja.. dunia ini mahukan kita lebih teliti, cerdik dan selalu diwarasi hukum Allah. Ayah D dapat gambarkan betapa kamu gembira seperti juga kak Iffah dan kak Izzah. Kena ingat bahawa kamu kena jaga seorang anak perempuan yang baru join keluarga kita. Jagalah dengan serius, kasih dan mesra. Buat parter Pak Din tu @ anak saudara baru...Ayah D nak pesan jagalah Pak Din kami dengan serius, kasih dan mesra juga. Ingatlah bahawa kebahagiaan @ as-sa'adah @ happinness itu tidak ada / tidak dijual di mall baik secara borong atau secara runcit.

Alangkah sukanya kalau ayah ada dan bertemu cucu2nya yang telah bernikah itu...'Iffah, 'Izzah dan 'Izuddin. Alfatihah buat ayah tercinta, semoga almarhum dinaungi keampunan dan rahmat Allah Taala...Aamiin.

Sunday, March 15, 2009

Majlis Tahlil Di Rumah Mak/Tok Wan: Dah 5 Tahun Tok Wan Tinggalkan Kita.


Malam tadi malam isnin bersamaan 18 Rabiulawal 1430 (15 Mac2009) selepas solat isya' berlangsung majlis tahlil di rumah kakcik mah / pokghi. Majlis diadakan mengingati pemergian ayah bonda kita mak/tokwan dan ayah mat. Ayah kembali ke rahmatullah 75 hari lalu sedangkan mak/tokwan sudah genap 5 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Mac 2004.

Majlis hanya dirancang secara segera dan disertai anak beranak termasuk mokdik Norina, ayah yi, anak2 dan ma. Tuan rumah menyediakan nasi kerabu Kg Cherang, teh O dan beleda. Kecilan sahaja namun pertemuan keluarga bersama mengenang ayah bonda adalah mustahak di samping mengeratkan silaturrahim.

Ayah d menjadi 'tok sheikh' tahlil. Abdul Hakim Adli pun boleh tapi dia belum biasa agaknya gugup kenaling lagi katanya. Bukan senang bagi kita bukan anak pondok untuk mengendali majlis sebegini. Ayah d juga cuba melihat semula risalah tahlil tu maklumlah dah lama bertapa di wad, kena cek semula. Pendidikan formal yang kita perolehi di sekolah, tidak menjamin kita dapat menjadi 'tok sheikh' meratib. Ayah juga tak pernah menyuruh kita belajar menjadi tok sheikh ni.

Ayah di kagum dan solute buat anakanda Razi suami Izzah makcik Ni yang berani menerima 'jawatan segera' sebagai tok syeikh di malam tahlil 40 hari peninggalan ayah baru2 ni. Walaupun kena tengok risalah tahlil, beliau sanggup mengendalikannya dengan vokal yang nyata jelas. Terima kasih. Wajar juga orang2 lain anak, cucu dan menantu ayah sedia mengendalikan majlis serupa itu. Insya Allah. Benda baik, apa salahnya.

Kita sama-sama mendoakan dihujung ratib dengan memohon Allah SWT mengampuni, merahmati dan meletakkan ayah bonda kita di tempat tertinggi pada maqam orang2 soleh dari kalangan nabi-nabi, solihiin, para syuhada' dengan penuh kemuliaan. Kita memohon agar Allah menjadikan kita semua hamba-hambaNya yang baik, selalu mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat kedua ibu bapa. Sentiasa berzikir dengan 'La ilaha illah' dan selalu berselawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w.

Amiin semoga amalan kita semua diredhai Allah. Majlis selesai 10.00 malam lebih.

Friday, March 13, 2009

Ayah Pastinya Akan Tersenyum Gembira....


Kalau ayah masih ada, pastinya dia akan tersenyum gembira dengan kejayaan pelajar ini. Pastinya ini akan terus menjadi modalnya untuk terus berkempen menghantar anak-anak ke sekolah agama.

Ayah juga pasti bangga kerana anak ini adalah dari golongan miskin namun mampu membuktikan bahawa kemiskinan bukannya penghalang kepada satu kejayaan. Kawasan di mana Nik Madihah tinggal adalah di antara kawasan miskin tegar di Pengkalan Chepa, dan ayahnya hanya seorang nelayan. Ayah juga mungkin akan menangis dalam kegembiraan kerana anak ini adalah juga daripada Sekolah Maahad Muhammadi, sekolah tempat beliau berjuang sebagai ahli PIBG, dan menggalakkan anak-anak orang ke sekolah ini, dan juga sekolah yang menjadi alma mater kepada hampir ke semua anak-anaknya. Sekolah di mana beliau hampir setiap hari menjenguk anak-anaknya di dalam bilik darjah bagi memastikan kami sentiasa tekun dengan pembelajaran kami.

Ayah mungkin akan berkata 'Siapa kata masuk sekolah Arab tak boleh berjaya?'. Dan beliau akan lebih bersemangat dengan perjuangannya untuk dunia pendidikan yang diyakininya.

Itulah ayah kita yang mempunyai pandangan yang terkehadapan dalam soal pendidikan. Terima kasih ayah.

Wednesday, March 11, 2009

Laman ini makin sepi...

Dah lama tak ada sapa-sapa menulis di sini. Sepi rasanya. Kenapa ya? Agaknya kita semua sibuk. Tapi jangan berhenti dari mengenang ayah kita. Kami pun Jumaat baru ni tak sempat ke kubur ayah. Bi dah sedih sangat tak bawa dia ke kubur. Esok pagi-pagi kami akan menziarah ayah.
Tak lama lagi 'pujomo'...sempena keputeraan sultan Kelantan. Slalunya setiap tahun kami akan bawa ayah round2 bandar Kota Bharu tengok lampu-lampu yang indah. Tahun lepas bi dan adik ajak ayah ..'ayah, jom gi tengok lampu dan pintu gerbang..cantik2 semua..." Tak sangka ayah setuju nak ikut..ma pun bersiap dan lepas solat Isyak ayah yi dukung ayah masuk dalam kereta..Kami bawa ayah round jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Kampung Sireh, depan pejabat SUK,depan Istana Balai Besar, Jalan Pengkalan Chepa..ayah tak berhenti bercakap..ayah kata Kota Bharu banyak berubah..ayah pun bercerita macam-macam kisah pujomo dulu2..
Masa kecik2 dulu, ayah selalu berbasikal bawa kita keluar masa pujomo..gilir2.seronok bila ayah bawa tengok lampu, beli kacang..dulu2 juga ada sarkas di tapak tanah lapang sebelah stadium (tapak IPK sekarang kalau tak silap). Maka kita akan membonceng basikal ayah gi tengok sarkas. Ayah, betapa kami rindukan saat2 bersamamu.

Monday, February 23, 2009

Rumah Sewa Ayah Di Jalan 'Postopeh' Lama, Kubang Pasu.

5. Rumah Sewa Ayah Di Kubang Pasu:

Rumah kedai ini terletak di Jalan Post Office Lama @ 'postopeh lama'. Dinamakan begitu kerana dulunya ada bangunan pejabat pos lama di tepi jalan ini berhampiran Padang Bank @ Padang Merdeka Kota Bharu. Pejabat pos baru terletak di Jalan Ibrahim, Kota Bharu.

Lokasi rumah sewa itu berhampiran Pasar Kubang Pasu, satu kawasan yang tidak jauh dengan Sungai Budor off Sungai Kelantan. Tanahnya agak rendah mudah digenangi air. Bila musim banjir selalunya di hujung tahun / bulan dua belas, para penduduk akan memindahkan barangan rumah mereka ke tempat lebih tinggi. Mereka juga akan bertali arus di atas jalan raya bermain air.

Di sekitar kawasan ini banyak dihuni oleh puak-puak keturunan 'nik'. Jadi kawan-kawanku di sini adalah anak 'nik-nik' antaranya Nik Afendi dan Nik Ishak. Rumah-rumah mereka besar dan berhalaman luas menjadi kawasan permainan. Setengah daripada mereka adalah keluarga 'bangsawan' atau 'kaya-kaya'. Yang bagusnya mereka baik-baik dan menghormati jiran-jiran seperti kami.

Beberapa orang kawanku di sini selalu mengajakku bermain, berenang atau mandi sungai berhampiran, Sungai Budor atau Sungai Keladi. Ayah selalu berpesan kepadaku jangan pergi ke sungai. Bahaya boleh lemas, katanya. Namun, sesekali aku ikut mandi sungai dan berenang tanpa pengetahuan ayah. Kami berenang dan mandi di rakit tepi Sungai Budor. Waktu itu air sungai masih jernih hingga menjadi tempat mandi manda dan membasuh pakaian bagi penduduk di situ. Sejak tahun 80an, air sungai sekitar kawasan itu telah keruh seperti teh susu akibat pencemaran dan sampah sarap 'water polution'. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidur ke!

Selalunya bila musim kemarau air sungai surut dan tohor sehingga kami boleh mengharung air berjalan kaki hingga ke tengah sungai untuk mencari etak. Seronok kutip etak live secara langsung dalam sungai tohor!

Pernah sekali ketika kami bermain kejar mengejar sambil berenang di sungai, aku terpaksa melintasi kawasan 'dalam tak terpijak'. Walau pun aku sudah pandai berenang, masa mengejar seorang kawan tiba-tiba aku berasa lemah, lelah dan nafasku makin semput. Aku lemas dan pasrah dihanyut arus. Nasibku baik kata seorang kawan, aku ditolong dan ditarik ke tepian oleh seorang makcik yang sedang mandi di situ. Jika tidak kerana pertolongan makcik tersebut, kawan-kawan memberitahu mungkin aku akan dihanyut arus sungai dan boleh mati lemas. Syukur alhamdulillah, umurkan masih ada lagi; namun insiden itu telah memberi kesan besar kepadaku bahawa nahas boleh terjadi jika tidak mendengar nasihat ayah. Peristiwa itu tetap menjadi rahsia dan kenangan aku dan kawan-kawan; ayah tetap tidak mengetahuinya.

Tinggal di mana-mana pun akan ada kisah-kisah pahit manisnya. Semasa tinggal di rumah sewa Jalan Post Office Lama atau Kubang Pasu itu umurku barangkali 10-11 tahun di antara tahun 1962-63 (?) . Penduduk-penduduk di sekitarnya menjalankan perniagaan secara kecilan di Pasar Kubang Pasu, menconteng kain batik, pegawai kerajaan, drebar kereta atau bekerja di kilang macis api (Cap Lada) ' kilang ggesek bemba' @ Kelantan Match Factory di pinggir Sungai Keladi dekat Kampung Banggol. Kilang tersebut dimiliki oleh keluarga India Muslim dari Bombay.

Masih kuingat, setiap pagi jumaat selepas solat subuh penduduk di situ akan berduyun-duyun ke kilang ggesek tersebut untuk berebut mendapatkan sisa-sisa kayu atau kulit kayu balak lebihan / buangan dari kilang itu untuk dijadikan kayu api. Penduduk lelaki dan perempuan akan mengangkut sisa-sisa kayu itu dengan memikul, menjunjung, mengelek malah memuatkannya dalam kereta tolak bertali-arus hinggalah ke siang. Macam berpesta pula riuh rendah mereka memenuhi kawasan kilang itu,hingga kadang-kadang ada yang bergaduh dan berbalah. Itulah bagusnya pihak kilang tersebut membantu dengan menyedekahkan kepada orang-orang sekitar mendapatkan bahan kayu api, maklumlah di bandar mana ada banyak kayu api utnuk memasak. Dapur gas belum ada. … ( ada lagi…)

Monday, February 16, 2009

Aduh. rindunya kepada Ayah

Salam,

I accidently dropped my tears reading the sms from Cik Su. Aduh, rindunya kepada Ayah. I have been wishing that at least Ayah could come to me in my sleep in one of those days, just to ubatkan kerinduan dan keteringatan kepada Ayah.

Alhamdulillah, Tik dapat penghormatan pertama untuk Ayah kunjungi Tik dalam mimpi. Abang Wi tumpang seronok dan sangat sayu mendengarnya.

Semoga Ayah berbahagia di sana sekarang. Man ahabba liqa-Allah, ahabballaha liqa-ahu.

Allahummaghfir li-abi, wa-adkhil hul jannah.


Tazkirah dari Che Su

Semalam Che Su sms....

" sekadar nak kongsi mimpi 2 mlm lepas Tik mimpi ayah. Ayah dok dekat pintu bilik dia, Tik bagitau ayah, kali ni Tik lambat sikit khatam utk ayah, ayah kata dia bukan nak suruh kejar baca banyak2 tapi dia nak kita faham maksud ayat jugak"

Che Su kata mungkin mimpi ni boleh jadi tazkirah utk kita semua....InshaAllah


Sunday, February 8, 2009

Terkenang Ayah Lagi

Tiba-tiba malam ni teringat waktu kecik2. Sebab kita semua adik beradik jenis yang penakut, maka malam-malam selalu la tertidur di ruang tamu rumah, tak berani masuk bilik tidur. Jadi bila ayah balik ngajar di balaisah, ayah akan memunggah sorang demi sorang masuk ke bilik. Kadang2 tersedar masa tengah ayah dokong, tapi tak buka la mata, sebab nak terus berada atas dokong ayah. Kalu ayah tau dah sedar, nanti ayah suh jalan sendiri. Rasanya semua ada pengalaman ni..berlakon masa ayah usung masuk bilik.
Masa kecik2 juga, setiap hari ayah gi pasar, ayah akan beli jagung. Selalunya jagung rebus yang dijual dalam daun pisang, yang diletak kelapa + gula. Tak puas ayah membelinya, dan tak puas juga la kita adik beradik memakannya. Kami yang kecik2 selalu dapat lebih, dan selalulah pula kami 'dikecek' oleh abe wi, abg ni & abg la, sampai sanggup jadi ayam la, kambing la, dok bawah meja. Kami yang dok atas meja dengan seronoknya akan membaling apa2 je makanan yang kami ada terus ke dalam mulut buaya2 di bawah. Maka kenyang la buaya2 @ ayam2 @ kambing2 itu, sampai kami tak tersedar makanan kami tak sempat dimakan, habis disuap kepada 'ternakan'...
Dan dengan cucu2 pun,perkara sama ayah lakukan, ke pasar dan membeli makanan kepada cucu2nya. Puas la kami melarang ayah dari membeli gula2 dan aiskrim, yang bukan sedikit dibeli. Bila ayah tau kami tak suka, ayah akan sembunyi2 beli. Dan bila ditegur sebab banyak beli gula2, kita pulak yang ayah marah, ayah kata kesian budak2. Itulah ayah kita, yang teramat mengasihi anak cucunya.

Abid, Bee dan 'Pak Cik'

Masa: 3 atau 4 tahun lepas. Masa tu Abid mungkin umur 2 atau 3 tahun.

Tempat: Depan rumah di Kota Bharu.

Abid tengah naik motor Pasola Ayah, ala-ala merempit gitu. Di belakangnya ada seorang minah sedang membonceng, Bee yang lebih kurang sama baya dengan penunggangnya.

Tiba-tiba Ayah datang dan jerkah 'jange main motor. Turun!!!'.

Terkulat-kulat budak dua orang tu turun dengan lajunya, sambil Abid berkata dengan pelatnya (sekarang ni pun pelat lagi) 'Pak Cik maghah. Dia suyuh tuyun'.

Itulah Ayah, yang dipanggil Pak Cik masa tu oleh Abid, yang begitu concerned takut cucu-cucunya sakit kalau motor tu tumbang. Sampai sekarang ni pun Abid masih komplen yang dia dah tak ada datuk lagi, sebagaimana dia selalu komplen yang dalam kelasnya, dia seorang saja yang tak ada adik.