Thursday, January 15, 2009

AYAH: Dari Tapang Ke Humalanas dan Kembali Ke Kota Bharu.


Ayah mendirikan pusat pengajian pondok di Kg Humalanas dalam Amphor Takbai Changwat Narathiwat, Thailand Selatan dalam tahun 1949. Sebuah rumah besar dan sebuah balassah didirikan orang-orang di situ untuk beliau tinggal sekeluarga; bersama mak, Rafeah, Abdul Halim, Abdul Aziz dan Hamidah (lahir 1948). Ketika itu ayah selaku seorang tok guru sangat dihormati dan disayangi oleh penduduk setempat. Kak long Rafeah telah dinikahkan ayah dengan seorang murid di pondoknya, Abang Soh / Pak Long / Yusof bin Isa (meninggal 25.5.2005). Kehidupan ayah disarai oleh penduduk kampung tersebut melalui sumbangan sedikit wang, beras dan lain-lain keperluan.

Ayah bermustautin dan mengajar di pondoknya itu lebih kurang 5 tahun sahaja. Ayah telah membuat keputusan tegas untuk balik ke Kota Bharu, Kelantan dan menghentikan kelas pengajaran pondok di Kg. Humalanas, Takbai itu. Hal ini mengejutkan murid-murid beliau di sana, mereka sangat mengharapkan ayah terus berada di samping mereka. Namun ayah tetap kembali ke Kelantan.

Mengapa ayah meninggalkan pemondokannya yang didirikannya dengan bersusah payah dan dengan penuh bersemangat pada mulanya? Mengapa beliau sanggup meninggalkan murid-nya yang ramai yang datang dari serata pelosok kawasan di sana untuk menuntut ilmu dengan beliau dan balik semula ke Kelantan? Mengapa beliau meninggalkan tempat itu padahal beliau disanjung dan hidupnya sudah lumayan senang? Persolan-persoalan itu mungkin timbul di kepala kita anak cucu ayah. Tentu ada alasan besar yang menyebabkan ayah nekad menghentikan pengajaran di pemondokannya itu.

Selaku anak almarhumah mak yang pernah tinggal bersama ayah dan dilahirkan di negeri seberang itu, aku pernah bertanya mak kenapa ayah bertindak demikian. Mak ada memberitahuku antara sebab-sebab ayah berpindah ke sana dan kemudiannya kembali berhijrah ke Kelantan itu.

Ayah meninggalkan Kelantan dan mendirikan institusi pondok di negeri seberang itu atas permintaan kuat beberapa orang kenalan di sana bagi memberi pendidikan serta ilmu agama kepada penduduk setempat. Ayah tidak menolak permintaan mereka apatah lagi setelah mendapat restu dari bapa mertua merangkap guru beliau Tuan Guru Hj Wan Ismail Tapang.

Namun setelah 5 tahun dan anak-anak sendiri Abdulaziz dan Abdulhalim perlu bersekolah maka ayah memutuskan untuk menghantar keduanya bersekolah secara formal di Kelantan. Kata mak, ayah tidak mahu anak-anaknya membesar dengan 'makan pasir', berbudaya kampungan ' Che Hil' (juga nama panggilan tempat di situ sempena Pekan Che Hil, Takbai) dan menyelamatkan mereka dari persekolahan Siam.

Kata mak, ayah pernah memarahi Abang Ziz suatu hari dengan menghamun kata 'cis' bila dilihat dan didengarnya Abang Ziz bersiul-siul. Pantang ayah mendengar suara siulan, perbuatan syaitan katanya. Aku juga pernah dimarahnya kerana selalu kotor dan comot bermain tanah/pasir. Betisku macam tiang jamban katanya. Prihatin.

Ayah sendiri pernah memberitahuku faktor utama ayah membuat keputusan menghentikan pengajarannya dan balik ke Kelantan ialah kerana permintaannya kepada beberapa orang pemuka kampung (juga selaku murid-muridnya) tidak diambil perhatian. Ayah memohon agar mereka mengumpul sedikit wang belanja untuk Abang Halim dan Abang Ziz bersekolah di Kota Bharu. Permohonan ayah tidak ditunaikan. Jadi, demi persekolahan anak-anaknya itu ayah sanggup meninggalkan rumah dan pemondokannya itu. Nada ayah bercerita ketika itu semacam kesal dengan sikap orang-orang di sana.

Kak Long Rafeah pula memberitahu bahawa setelah ayah berkahwin dengan ma, ma memilih tidak mahu tinggal di Kampung Humalanas.

Faktor-faktor itulah yang menyebabkan ayah nekad memilih untuk balik ke Kota Bharu dan menjalankan perniagaan runcit di bandar. Bermulalah ayah tinggal bersama ma di rumah-rumah sewa sambil berniaga runcit dengan rumah pertamanya di Cabang Tiga Kampung Chempaka dekat rumah Penggawa Yaakob Daerah Panji.

Nekad ayah untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah Agama-Arab bermula dengan Kak Long Rafeah belajar di Kubang Kerian, Abang Halim dan Abang Ziz di Sekolah Jami' Merbau yang kemudiannya menjadi sekolah Maahad Muhammadi. Azam dan tawakkal ayah itu diberkati Allah s.w.t membuahkan hasil yang baik.

Barangkali itulah jua antara hikmahnya ayah meninggalkan pengajarannya di pemondokan Kampung Humalanas, Amphor Takbai, Narathiwat, Thailand Selatan; ayah berjaya memberi pendidikan dan ilmu Islam yang sangat bernilai untuk kejayaan anak-anak. Pengorbanan besar ayah kita untuk pendidikan anak-anak dan sumbangannya kepada masyarakat dan agama amat kami kagumi

1 comment:

  1. good record on ayah's stay di Takbai. Phase inilah yang adik-adik kurang dapat maklumat. Mungkin abg2 atau kakak yg lebih tua boleh tambah lagi info dan share dgn kita.

    decision yg ayah buat tu mmg tepat. kalau tak, mungkin ada adik-beradik kita yg jadi tukang masak tomyam kot.

    ReplyDelete