Saturday, January 31, 2009

Di Sekolah Majlis dan Situasi 6 Tahun Ayah Berniaga Runcit.

4. Rumah Kedai Belakang Kota 3

Memang tepat ayah memilih untuk tinggal sambil berniaga runcit di sini. Selain berdekatan dengan Istana Balai Besar, rumah kami tidak jauh dengan Masjid Muhammadi, Market (pasar besar) Kota Bharu, stesen bas bandar dan kedai-kedai. Maklumlah tinggal di pusat bandar segala keperluan mudah diperolehi. Yang paling utamanya sangat dekat dengan sekolah kami. Semua tempat tersebut boleh kami sampai dengan hanya berjalan kaki sahaja.

Menyusuri Jalan Parit Dalam atau melalui lorong belakang bangunan CEB (Central Electrical Board) @ LLN (Lembaga Letrik Negara @ TEN (Tanaga Nasional) sekarang, kami berjalan kaki boleh ke market atau stesen bas dan gudang-gudang di bandar. Aku ke Sekolah Majlis berunifom seluar kain khaki berkaler kelabu, baju dan kasut putih tanpa songkok.

Bangunan Sekolah Majlis @ Maahad Muhammadi (Melayu) Lelaki dan MM (Arab) Lelaki di Jalan Merbau ini adalah bangunan batu setingkat (masih wujud hingga sekarang dijadikan Sekolah Maahad Muhammadi Lil-Banat) yang terletak dalam kawasan yang luas dan mempunyai padang untuk senaman serta bermain bola. Padang itu cukup luas hinggakanpernah dipinjamkan untuk perlawanan bola peringkat negeri sewaktu Stadium Sulatan Muhammad ke 4 sekarang di dalam pembinanaan dan selenggaraan.

Mengenang Sekolah Majlis selama 5 tahun aku belajar di situ, aku teringatkan almarhum cikgu-cikgu dan ustaz yang berjasa berkhidmat mendidik kami. Selain guru besarnya Cikgu Nik Jaafar, kami masih ingat Cikgu Wan Ali, Sir Nik Mat, Cikgu Nawi Husein, Ustaz Yahya, Cikgu Nik Leh, Cikgu Nik Kar, Cikgu Mat Perit dan Cikgu Mat Saman Lukisan. Yuran persekolahan ialah 30 sen sebulan sahaja, namun ada juga murid-murid yang sering tertunggak membayarnya, termasuk aku!

Aku masih ingat Cikgu Wan Ali pernah warning kami jika berbuat bising dalam kelas, dia akan tampar hingga gelegak tahi telinga. Ustaz Yahaya yang mengajar Bahasa Arab dan tulisan khat jawi, Cikgu Nawi yang bengkeng sehingga menakutkan kami, Sir Nik Mat yang selalu mendenda 'speak Malay five cent' jika kami bercakap Melayu ketika subject Bahasa Inggeris sedang berlangsung di bawah bimbingan beliau. Wang kutipan dari dendaan itu akan dibelinya English Story Books dan kami bergilir meminjamnya. Besar sungguh jasa guru-guru kami itu, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.

Kantin sekolah dikendalikan oleh Hj Abdullah @ Hj Lah dan anak-anaknya. Di kantin ada menjual beraneka kuih-muih dengan harga lima sen sebiji, nasi berlauk dan lain-lain termasuk nasi tumpang hanya berharga 10 sen sepinggan kecil. Cukup buat sarapan! Waah murahnye.. sekarang ni RM1.50 tidak dapat membeli sepinggan nasi. Kuih pula sekarang dijual 3-4 biji RM1.00!

Kedai runcit ayah seingat aku, harga gula-gula 3 biji 5 sen, gula sekati 35 sen, gandum sekati 25 sen ( 1kg = 1.6 kati). Kebanyakan barangan yang dibeli oleh pelanggan masih di bawah nilai seringgit. Kata setengah orang, walau pun barangan sangat murah harganya waktu itu namun kebanyakan rakyat susah untuk mendapatkan wang untuk berbelanja.

Di depan kedai ayah di seberang jalan, ada bangsal orang menjual nasi berlauk. Penjualnya kalau tidak silap aku ialah makcik Som isteri pakcik Omar pekerja Jabatan Bomba. Anak-anak perempuan kami panggil Kari dan Naim (Karimah dan Naimah) selalu membantu maknya berniaga. Adiknya Musytari adalah salah seorang kawanku waktu itu. Makcik Som menjual nasi berlauk sebungkus 10 sen dengan gulai ikan selar kuning. Jika berlauk ikan aya @ tongkol harganya 20 sen sebungkus. Aku anggap orang-orang kaya sahaja yang membeli nasi berlauk ikan aya.

Saingan perniagaan runcit ayah ialah kedai runcit 'Tuan' terletak di bucu sebelah hilir kota. Kedainya lebih padat dengan barangan diselenggarakan 'tuan kedai yang gemuk dan tidak pernah berbaju. Aku biasa berbeli aiskrim di kedainya, dia pula selalu memperli aku mengapa datang berbeli di kedainya padahal ayah juga berniaga runcit. Ayah tidak menjual aiskrim.

Kawan-kawan sebaya dan sepermainan di sekitar Kg Buluh Kubu itu memanggil namaku 'Mahadi'. Aku hingga kini masih hairan mengapa namaku bertukar demikian. Ayah dan ma pernah memberitahu mereka nama sebenarku, namun aku tetap dipanggil dengan 'Mahadi'.

Majoriti penduduk di situ adalah orang-orang Melayu dengan berbagai status, corak kehidupan dan bermacam telatah. Sebahagiannya adalah setinggan dan penyewa-penyewa perumahan yang sangat padat. Kami mendapat air percuma melalui satu paip air besar di tepi jalan. Bayangkan betapa sukarnya 'berebut' pasang wayar / getah paip untuk mendapatkan air. Ada yang mengakut air dengan baldi dan tin besar. Ada pula orang-orang yang tidak malu-malu untuk terus mandi manda di situ.

Itulah kehidupan kami di Kedai Runcit Belakang Kota @ Buluh Kubu. Ayah berniaga di situ selama 6 tahun lebih (1956-1962). Ma memberitahu, sambil berniaga ayah tetap mengajar agama di bebarapa tempat antaranya Kg Chetok Pasir Mas dan Kg Pek Batu 30 Machang. Ayah sengaja berulang-alik ke tempat mengajarnya itu dengan berkayuh basikal Raleighnya, (bukan menaiki bas atau kereta) demi menyelamatkan sedikit habuan wang dan tambang yang disediakan oleh pihak Pejabat Persatuan Mengajar dan Mengaji Al-Quran di bawah kelolaan pengerusinya almarhum Ustaz Ismail Shauqi.

Menurut ma, tiga orang anaknya sempat menghirup udara dan dibesarkan di Kedai Runcit Belakang Kota, walaupun Mek Norani @ Umi Long ( lahir 1958 di rumah nenek Wa Membunga di Kg Belukar), Asmawi (lahir 1960 di Kg Guchil) dan Muhammad Dani (lahir 1962 di Kg Guchil).

Selama 6 tahun lebih menyewa di situ, pemilik premis yang kami Panggil Pakcik Pit telah mengarahkan ayah supaya berpindah dan mengosongkan rumah kedai tersebut. Aku tidak tahu kenapa kami mesti berpindah rumah. Demi meneruskan survival hidup ayah sekeluarga, ayah berpindah ke rumah sewa ketiga di Jalan Post Office Lama berdekatan pasar Kubang Pasu, Kota Bharu….(ada lagi)

1 comment:

  1. usahkan masa abg d, masa kami kecil pun, masih jarang dapat makan nasi belauk ikan aya..masa tinggal di Lorong Chicha, kadang2 kami disuruh ma beli nasi belauk ikan aya di warung mak embong / mak ngah.Dua tiga bungkus shj. Dan ma akan masak nasi, untuk digaul bersama dengan nasi belauk dua atau tiga bungkus itu, dapat makan ramai2. Tak pernah dapat makan nasi belauk sebungkus seorang...memang, orang kaya je yang mampu makan begitu.

    ReplyDelete