Friday, January 23, 2009

Ayah Kita: Pekedai Runcit & Pembuat Jeruk Kelubi.

2. Rumah Sewa Kedua: Kedai Runcit Belakang Kota.

Barangkali dua faktor besar ayah berpindah lokasi perniagaannya ke tempat baru di pusat bandar Kota Bharu ini. Pertama, ayah mahu memajukan lagi perniagaannya bagi menambahkan pendapatan dan yang kedua, bertujuan memudahkan anak-anaknya belajar di sekolah Jami' Merbau @ Maahad Muhammadi di Jalan Merbau, bandar Kota Bharu.

Sebuah kedai runcit sangat perlu di kawasan yang padat dengan penduduk. Manakala sekolah itu pula sangat dekat dengan rumah; tidak sampai pun 10 minit berjalan kaki abang Lim, abang Ziz dan aku boleh tiba ke sekolah. Mereka berdua belajar di Ma'ahad Muhammadi bahagian menengah Agama-Arab, aku pula di 'Sekolah Majlis' atau Maahad Muhammadi Bahagian Melayu. Kak Dah pula bersekolah di Madrasah Na'im Lilbanat yang waktu itu terletak dekat Cabang 4 Bata, Kota Bharu; lebih kurang setengah kilometer dari rumah.

Kedai runcit ayah itu tidaklah besar tetapi agak padat dengan barangan. Ia terletak di tepi jalan menghadap Jalan Pintu Pong, lebih kurang 20 meter dari simpang tiga belakang pagar /kota Istana Balai Besar (terkenal dengan sebutan Belakang Kota). Kawasan itu juga pernah disebut 'Bangsal Gajah', kerana menurut sejarah di situlah kawasan kandang peliharaan gajah milik raja Kelantan! Lokasi itu sekarang ialah betul-betul dengan kedudukan pintu besar sebelah hilir Pasar Siti Khadijah tempat jualan buah-buahan.

Masih kuingat semua penduduk di kawasan itu ialah orang-orang Melayu. Ada sebuah surau di tepi jalan berhampiran rumah. Surau itu letaknya bertepatan dengan premis Tabung Haji di sebelah hilir pasar sekarang. Di surau itulah tempat kami berjemaah solat. Di situ juga budak-budak lelaki perempuan mengaji Al-Quran di bawah bimbingan Ustaz Mohammad Amin menantu kepada Haji Shafie peniaga kayu api di sekitar kawasan itu. Ustaz Mohammad yang kami panggil Abang Mat Kakwan adaah ayah kepada Cikgu Roslina, guru Bahasa Melayu SK Tapang.

Selain berniaga runcit, ayah juga adalah pengusaha / membuat jeruk pelbagai buah. Seingatku ayah adalah pakar menjeruk buah kelubi, buah pauh muda, buah bacang, buah cermai dan buah celagi /asam jawa. Jeruk buatan ayah sedap dimakan, cukup masam manisnya. Projek jeruk ayah secara besar-besaran itu mendapat sambutan luar biasa. Ada beberapa orang pekerja membantu kerja ayah itu untuk mengoyak, membelah dan menjeruk buah-buahan itu di dalam tempayan. Dua tiga puluh tempayan tersedia untuk muatan jeruk buahan ayah, menandakan betapa majunya bisnes ayat itu. Ayah mengedar sendiri jeruk itu ke kedai-kedai dengan basikalnya atau kadang-kadang ada peniaga lain yang datang sendiri mengambil 'motol' (balang kaca) buahan jeruk made by ayah itu untuk pasaran .... (ada lagi...)

2 comments:

  1. teringat lagi masa form 1 to form 3, selalu kutip duit hasil jualan jeruk yg ayoh letak di kedai2. setiap hari ayoh upah 5 sen, dan juga kena bawa balik baki jeruk yg tak laku.

    ReplyDelete
  2. tak aper lah. ada jugak upahnya.....

    ReplyDelete