Sunday, January 4, 2009

Ayahanda Muhammad Hj Awang Fi Zimmatillah

Dari Allah beliau datang. Kepada Allah beliau kembali.

Harimau mati meninggalkan belang, ayah mati meninggalkan legasi yang berpanjangan untuk seluruh anak cucu cicit beliau hingga ke bila-bila.

Blog ini diwujudkan sebagai laman untuk kita mengenang kembali segala jasa, penat lelah, pengorbanan, tunjuk ajar, pesanan, kritikan, bimbingan, luahan fikiran dan apa jua yang dapat kita imbas kembali dari kehidupan kita bersama insan yang tercinta yang bernama Ayah, Ayah Mat, Ayoh, atau apa juga nama yang kita panggilkan untuk beliau.

Blog ini akan menjadi arkib tempat simpanan segala pengalaman kita hidup bersama beliau dari mula kita lahir hinggalah beliau menghembuskan  nafasnya yang terakhir pada petang Rabu 31hb Disember yang lalu.

Blog ini akan menjadi tempat tatapan anak cucu cicit beliau melepaskan rindu bila-bila mana mereka teringat dan terkenang kepada Ayah yang kita semua amat kasihi itu.

Blog ini akan menjadi memori berkekalan untuk kita semua, walaupun ayah sudah tidak bersama kita untuk selama-lamanya. Di sinilah kita melakar ayat-ayat kasih kita terhadap Ayah. Di sinilah kita menghimbau saat-saat bahagia yang kita kecapi bersama sewaktu Ayah ada bersama kita.

Berbahagialah ayahanda di sana.

Selamat menyumbang.  

Sumbangan penulisan di sini terbuka untuk semua anak cucu cicit Ayah. Anda hanya perlu memberikan saya alamat email anda untuk saya masukkan dalam senarai nama penyumbang. Tanpa maklumat tersebut, anda tidak akan mendapat "authorization" untuk menulis di dalam blog ini.

No comments:

Post a Comment